Skip to main content
07 August 2025

TEJA UTeM CABAR DIRI, ANJUR 16 PROGRAM BERTARAF ANTARABANGSA

Jawatankuasa Kolej Kediaman Siswa/i (JAKSIS) Satria (Lekiu), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) membuktikan kemampuan kepimpinan apabila berjaya menganjurkan 16 program di bawah Festival Antarabangsa Inderaloka-International Inderaloka Festival (LOKA-FEST) yang berteraskan 8 dimensi TUAH UTeM, seperti berikut : - Pembangunan Akademik dan Kerjaya, Etika dan Kerohanian, Pengurusan dan Kepimpinan, Sukan dan Rekreasi, Kebudayaan dan Identiti Nasional, Keusahawanan, Sukarelawan dan Khidmat Komuniti serta Teknikal dan Inovasi.

Festival yang julung-julung kali diadakan ini berlangsung selama 9 hari dan mendapat sokongan luar biasa dengan lebih daripada 2,000 pengunjung dan juga peserta yang terdiri daripada pelajar Universiti Awam di Malaysia, Universiti luar negara dan juga orang awam. Pelbagai aktiviti menarik yang menjanjikan hadiah wang tunai berjaya menarik penyertaan luar biasa daripada dalam dan luar negara. Antara aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan adalah pertandingan e-sukan, forum keusahawanan antarabangsa melibatkan Indonesia-Malaysia-Korea-Jepun, cabaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), bengkel jahitan bersama Brother International (M) Sdn. Bhd., ceramah kesedaran berkaitan penyalahgunaan dadah dan scammer serta jualan barangan vintaj di sekitar Kolej Kediaman, UTeM. Penutup program menampilkan pertandingan kecantikan dengan kerjasama bersama-sama Syarikat MaryKay Sdn. Bhd. dan persembahan daripada pelajar melalui Kelab Virtouso, UTeM dengan mengangkat tema Rock N Roll.

Melalui penganjuran LOKA-FEST ini, TEJA UTeM secara tidak langsung telah mempererat hubungan kerjasama bersama-sama pelbagi rakan kolaborasi strategik, termasuklah namun tidak terhad kepada Kelab dan Persatuan di UTeM, Universiti-Universiti dari luar negara dan agensi-agensi Kerajaan. Antara rakan kolaborasi yang terlibat adalah seperti Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), Melaka Tengah, Melaka, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, Melaka, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Politeknik Negeri Batam, Indonesia, Asakura Campus, Kochi University, Japan, Korea University, Korea, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor. Menurut Pengarah Program LOKA-FEST, Saudari Nurshalihah Diyanah binti Ajah Maidien, “LOKA-FEST ini menjadi bukti nyata bahawa TEJA (mahasiswi) UTeM berkemampuan, boleh menyelaras dan berkeupayaan mengemudi untuk memastikan kelangsungan program. Perancangan teliti dan kerjasama erat pelajar dan pihak pengurusan mendatangkan keberhasilan program yang boleh dibanggakan. Setiap dari mereka ini adalah nadi penggerak kepada penganjuran LOKA-FEST.” Seorang pengunjung Vintage Night Market yang ditemui, Muhammad Zharfan, menyatakan keterujaan menghadiri pesta jualan yang diadakan berikutan kepelbagaian barangan vintaj dapat diperoleh dengan harga “pakej pelajar” dan suasana tapak pesta yang diserikan dengan alunan lagu daripada kumpulan busking. Penganjuran Vintage Night Market ini dilihat bukan sahaja sebagai lubuk rezeki kepada peniaga tetapi juga satu medan untuk pelajar mendapatkan barangan murah yang jarang ditemui di luar sana. Selain itu, Izzat Idzuan, pelajar dari Asakura Campus, Kochi University, Japan menyatakan bahawa slot forum keusahawanan antarabangsa yang disertai memberikannya sudut pandangan yang berbeza di antara market di Malaysia dan juga Indonesia terutama sekali melibatkan jualan atas talian. Forum keusahawanan ini menunjukkan perbezaan ketara daripada segi hasil jualan dan kaedah direct-selling berkesan bagi dua buah Negara, Malaysia dan Indonesia.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), YBhg. Profesor Madya Datuk Dr. Sabri bin Mohamad Sharif, yang ditemui sewaktu Majlis Perasmian Penutup LOKA-FEST menzahirkan perasaan bangga apabila melihat pelajar UTeM bukan sahaja menonjolkan kecemerlangan akademik, tetapi juga menyerlah dalam kepimpinan, kreativiti dan pengurusan acara yang bertaraf antarabangsa. Menurut beliau, inisiatif seperti LOKA-FEST ini adalah satu platform yang amat berharga bagi mahasiswa/i untuk mengasah kemahiran insaniah, kemahiran komunikasi rentas budaya serta semangat berorganisasi yang seimbang dengan keperluan dunia kerjaya masa kini. Tambah beliau lagi, Program seperti ini menjadi cerminan kepada budaya kampus yang holistik, inklusif dan menghargai kepelbagaian. Kehadiran peserta dan tetamu dari luar negara dalam program ini memberi nilai tambah yang besar dari segi pemahaman global dan jalinan kerjasama rentas sempadan serta sekali gus mengangkat imej UTeM sebagai sebuah universiti teknikal yang terbuka dan progresif.