Skip to main content
13 June 2025

UTeM Terajui Inisiatif Terbaharu TVET Negara AI dan Keselamatan Siber Menerusi Pelancaran FAIX

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menggalas amanah negara menerajui dan menjayakan inisiatif terbaharu dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 menerusi bidang Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber.

Peluncuran inisiatif terbaharu TVET Negara 2025 dan peluncuran Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX) UTeM ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Majlis Perasmian Hari TVET Negara 2025 bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), semalam.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, UTeM sentiasa komited dan menzahirkan peranan besar dalam menjayakan aspirasi TVET Negara menerusi FAIX.

Jelasnya, peranan kami bukan hanya tertumpu dalam menjayakan inisiatif terbaharu TVET Negara dalam aspek akademik, penyelidikan dan inovasi dalam bidang Kecerdasaran Buatan dan Keselamatan Siber semata-mata malahan lebih dari itu.

“UTeM turut menjadi tunjang Malaysia dalam menyediakan tenaga kerja profesional mahir dalam bidang ini berasaskan teknologi melalui pendekatan TVET yang komprehensif dan adaptif.

“Penubuhan FAIX turut memperkukuh kepentingan AI Gunaan (Applied AI) yang merentas pelbagai disiplin, termasuk kejuruteraan, perniagaan, automasi, dan sistem pintar.

“Pendekatan rentas disiplin ini adalah kunci dalam menyediakan penyelesaian teknologi yang menyeluruh, mapan dan bernilai tinggi kepada industri dan negara,” katanya.

Katanya lagi, dalam era digital ini, AI dan keselamatan siber bukan lagi bidang pilihan kerana telah menjadi satu keperluan, justeru FAIX turut berperanan sebagai pusat rujukan kebangsaan dan hab penyelidikan serta inovasi AI Gunaan dan keselamatan siber selari dengan keperluan industri dan aspirasi Malaysia Madani.

“Peluncuran FAIX menandakan komitmen UTeM untuk menjadi perintis dalam pembangunan modal insan TVET berteknologi tinggi dan menjadi institusi pendidikan tinggi teknikal yang relevan, responsif dan proaktif dalam menghadapi masa depan,” katanya.

Mengulas lanjut tentang operasi fizikal FAIX, sehingga kini FAIX telah dilengkapi dengan 13 buah makmal dengan kelengkapan bertaraf dunia yang membolehkan pelajar dan penyelidik meneroka teknologi canggih dalam persekitaran yang kondusif serta berdaya saing.

“Dijangka seramai 1040 orang pelajar tempatan akan menjadi kumpulan perintis pertama pada kemasukan bulan Oktober nanti menjadikan permulaan yang signifikan kepada pengoperasian rasmi fakulti ini,” ulasnya.

Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2025 dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Pihak UTeM dihadiri oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Zahriladha Zakaria, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif, Penolong Naib Canselor Strategik dan Kelestarian Global, Prof. Madya Mohd Rahimi Yusoff dan Dekan FAIX Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Hafidz Fazli Md Fauadi.