Naib Canselor UTeM Terima Anugerah Personaliti Cemerlang Pendidikan Transformatif Peringkat Asia
Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Professor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin telah berjaya menerima Anugerah Personaliti Pendidikan Transfomartif Cemerlang peringkat Asia, semalam.
Kejayaan ini meletakkan beliau sebagai 10 personaliti terbaik di peringkat Asia dalam bidang kepakaran masing-masing menerusi majlis Top Asia Corporate Ball 2024.
Top Asia Corporat Ball 2024 yang merupakan acara tahunan berprestij yang mengiktiraf syarikat-syarikat, pemimpin industri, pendidikan serta tokoh masyarakat terkemuka dari seluruh Asia untuk diraikan kecemerlangan dalam pelbagai bidang.
Menurut kenyataan UTeM, anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada Dr Massila terhadap pencapaian beliau dalam bidang pendidikan, khususnya dalam memimpin UTeM ke arah kecemerlangan akademik dan inovasi teknikal secara berimpak tinggi.
Ujarnya, pencapaian ini juga turut mengiktiraf pencapaian beliau menerajui UTeM mencipta kejayaan berantaian dalam pelbagai dimensi bukan hanya di peringkat nasional malahan mengharum di persada di antarabangsa.
“Secara peribadi, pencapaian unggul Anugerah Personaliti Cemerlang Pendidikan Transformatif ini merupakan anugerah ketiga yang diterima beliau sepanjang tahun 2024 ini.
“Dua anugerah yang telah diterima sebelumnya adalah Anugerah Personaliti Cemerlang Malaysia (Kepimpinan TVET), Malaysia Education & TVET Awards dan World Distinguished Women Leader Lifetime Achievement Award dalam World Women Economic & Business Summit (WWEBS),” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, rangkaian anugerah itu secara keseluruhannya telah berjaya menyerlahkan kredibiliti beliau sebagai seorang kepimpinan wanita berkaliber dan kecemerlangan tinggi.
“Secara umumnya, beliau telah mempamerkan kualiti kepimpinan dinamik terbaik sepanjang kariernya sebagai tunggak kepimpinan utama di universiti TVET terbaik di Malaysia ini.
“Beliau turut menyerlah sebagai ikon komited menggalas amanah negara menggerakkan pemerkasaan TVET dalam kalangan wanita dengan menjayakan program JELITA (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement) secara komprehensif.
“Pada masa yang sama beliau turut diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan Pengerusi Majlis Akreditasi Teknologi dan Teknikal (TTAC), MBOT,” katanya lagi.
Pengiktirafan dan kejayaan ini telah melayakkan beliau menerima sebuah trofi serta sijil anugerah berprestij ini dalam majlis yang berlangsung di salah sebuah hotel ternama di Kuala Lumpur.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Yang Amat Mulia Paduka Puteri Tunku Mariamz Al Marhum Sultan Iskandar.
Pihak UTeM turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir Dr Ghazali Omar, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif, Penolong Naib Canselor Strategik dan Kelestarian Global, Prof Madya Mohd Rahimi Yusoff dan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global, Hazman Hasib.