Skip to main content
30 September 2024

Julang dan Harumkan Nama Malaysia di Pentas Asia Tenggara: UTeM Rangkul Anugerah Pengurusan Tenaga Lestari di Anugerah Tenaga ASEAN 2024

Penyerlahan kecemerlangan berterusan buat Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) apabila berjaya menjulang dan mengharumkan nama Malaysia di peringkat Asia Tenggara dengan merangkul Anugerah Pengurusan Tenaga bagi Bangunan dan Industri menerusi Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) 2024 di Vientiane, Laos, hari ini.

AEA anjuran Pusat Tenaga ASEAN dengan kerjasama negara-negara anggota ASEAN merupakan anugerah pengiktirafan tertinggi di rantau Asia Tenggara bagi pencapaian dan amalan terbaik institusi dan organisasi dalam memacu agenda pengurusan tenaga lestari di peringkat serantau. 

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan kejayaan hebat buat UTeM apabila berjaya menjadi pilihan utama mewakili Malaysia ke AEA 2024 dan memenangi Anugerah Tenaga ASEAN 2024.

Jelasnya, UTeM ke AEA 2024 adalah secara merit selepas mengungguli Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2024 dalam kategori Pengurusan Tenaga (Energy Management in Large Building) yang diadakan sebelumnya pada Februari 2024. 

Katanya, impak kejayaan ini terus menyerlahkan kecemerlangan kami apabila berjaya mengharumkan nama negara di peringkat Asia Tenggara sekaligus meletakkan UTeM sebagai universiti yang terkehadapan dalam bidang pengurusan tenaga lestari bukan hanya dalam negara malahan diiktiraf di rantau Asia Tenggara.

“Bertambah menarik lagi kerana kejayaan tahun 2024 ini merupakan kejayaan kedua UTeM di pentas Asia Tenggara yang mana lakaran kejayaan pertama kami dalam kategori Pengurusan Tenaga bagi Bangunan dan Industri ini telah dijulang pada tahun 2021 yang lalu.

“Gandaan kejayaan berprestij ini tentunya telah menzahirkan komitmen UTeM untuk terus berinovasi dan menjadi peneraju serantau dalam bidang pengurusan tenaga lestari telah dilaksanakan sebaiknya pada landasan yang amat tepat.

“Sehubungan dengan itu, UTeM tentunya akan terus menyokong agenda pengurusan tenaga lestari pada masa depan, sejajar dengan 5 Teras Strategik UTeM 2023-2025 dan agenda negara berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” ujarnya lagi.

Turut mengulas kemenangan ini, Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kelestarian Global) Profesor Madya Ts. Mohd Rahimi Yusoff berkata penyertaan dan kejayaan UTeM ini amat penting bagi tujuan pengukuhan penjenamaan dan kedudukan UTeM sebagai salah satu pakar rujuk terbaik dalam aspek pengurusan tenaga lestari, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga meliputi seluruh rantau Asia Tenggara. 

“Kejayaan ini turut membuka peluang yang lebih luas kepada UTeM untuk meluaskan kerjasama strategik dengan organisasi peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa terutama penyelidikan yang berfokus dalam membantu dunia merealisasikan matlamat berkaitan SDG. 

“Kami berharap pencapaian ini akan menjadi pemangkin kepada semua untuk terus memacu UTeM agar turut cemerlang dalam bidang-bidang lain juga sekaligus memantapkan usaha penyerlahan visibiliti jenama UTeM,” katanya. 

Dengan kemenangan ini UTeM telah menerima hadiah kemenangan berupa piala anugerah paling berprestij di rantau Asia Tenggara ketika Majlis Makan Malam Gala Anugerah AEA 2024 di Hotel Landmark Mekong Riverside, Vientiane, Lao PDR, sempena 24th ASEAN Energy Business Forum (AEBF-24). 

Menerima hadiah kemenangan dalam majlis ini UTeM diwakili oleh Timbalan Pengarah Pusat Alam Sekitar Pintar (CENSEi), Ts. Dr. Mohamad Fani Sulaima dan Ketua Projek NEA dan AEA 2024, merangkap Ketua Bahagian Tenaga Pintar, CENSEi dan Pengurus Tenaga UTeM, Ir. Dr. Mohamad Firdaus Sukri.

AEA diwujudkan selaras dengan komitmen bersama negara-negara anggota ASEAN untuk mencapai pengurangan 32% dalam intensiti tenaga menjelang 2025, seperti yang digariskan dalam Rancangan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga (APAEC) Fasa II (2021-2025). 

Untuk tahun 2024, AEA telah menerima sejumlah 66 penyertaan dalam pelbagai kategori, terdiri daripada 25 penyertaan untuk Kategori Bangunan Cekap Tenaga, 13 penyertaan untuk Kategori Bangunan Hijau, dan 28 penyertaan untuk Kategori Pengurusan Tenaga bagi Bangunan dan Industri. Pemenang AEA 2024 telah diumumkan dan diperakukan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-42 (AMEM) yang dihoskan oleh Lao PDR sebelum ini.