Skip to main content
18 January 2023

UTeM dan UKM Perkukuh Hubungan Strategik Kongsi Kepakaran Terokai Peluang Penjanaan Pendapatan

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus perkukuhkan hubungan strategik dan perkongsian kepakaran bersama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM dan UKM terus menyemarakkan budaya perkongsian kepakaran dan amalan terbaik secara bersama.

Jelasnya antara agenda utama yang ditekankan adalah kerjasama dua hala antara UTeM dan UKM dari segi adaptasi amalan terbaik bagi aktiviti penjanaan pendapatan melalui anak syarikat.

Katanya, peluang ini akan dijayakan sepenuhnya kerana ianya merupakan ruang dan peluang yang sentiasa berpotensi besar untuk diterokai bersama sekaligus menjana pendapatan lumayan buat universiti.

“Di samping itu, kedua-dua universiti turut menyentuh peluang untuk menjayakan beberapa siri kolaborasi penyelidikan dan pembangunan bersama dalam bidang berimpak tinggi dan tentunya memberikan manfaat buat komuniti sejagat.

“Ianya seiring dengan peranan dan penterjemahan kepakaran dimiliki yang berkait terus kepada pembangunan masyarakat dan negara malahan turut memberi impak langsung kepada peradaban dunia,” ujarnya lagi.

Massila mengupas kenyataan tersebut hasil daripada kunjungan dan perbincangan beliau bersama Naib Canselor UKM Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman di Kampus UKM Bangi, baru-baru ini.

Dalam kunjungan tersebut pihak UTeM turut berpeluang berjumpa dengan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UKM, Prof. Emeritus Dato' Dr. Mohamad Abd Razak.

Kunjungan pihak UTeM ke UKM turut dihadiri oleh Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Canselori (PKKPC) Datin Wira Ts Nurazlina Md. Sanusi.