Skip to main content
11 November 2022

Anak Pemandu e-hailing Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UTeM

Pengorbanan bapa bekerja sebagai pemandu e-hailing menyara keluarga menyuntik semangat Iszuzuldin Amirull Mohd Janudin, 25, belajar dengan tekun dan gigih sehingga menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Ke-18, baru-baru ini.

Penyampaian anugerah disempurnakan Canselor UTeM, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam dan disaksikan Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Automasi Industri dan Robotik) itu ketika ditemubual berkata, kesukaran ayah bekerja keras siang dan malam menyedarkannya untuk terus belajar bersungguh-sungguh sehingga cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.60.

Bapanya, Mohd Janudin Salleh, 57, hanya memandu e-hailing bagi menyara keluarga dan membesarkan mereka tiga beradik, manakala ibu, Noraisah Ahmad, 50, suri rumah.

Katanya, ke arah mencapai kejayaan beliau turut mengamalkan pegangan dan amalan sentiasa berfikiran positif, berkeyakinan tinggi serta percaya pada kemampuan diri mampu berjaya serta memperbanyakkan ibadat dan doa.

“Di samping itu,selalu melibatkan diri dalam pertandingan berimpak tinggi yang berkaitan dengan bidang yang saya pelajari di samping sentiasa sentiasa mengulangkaji mata pelajaran secara sistematik bersama kumpulan,” ujarnya lagi.

Graduan yang berasal dari Kuala Lumpur dan menetap di Melaka kini adalah antara 3,149 graduan yang menerima diploma, ijazah, ijazah sarjana serta ijazah Doktor Falsafah (PhD) masing-masing pada majlis yang berlangsung tiga hari membabitkan enam sesi itu.

Pada majlis sama, seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja adalah Ng Chi Yuan, 24, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik yang mencapai PNGK 3.78.

Ketika ditemubual Ng Chi Yuan yang berasal dari Kedah itu melahirkan rasa kegembiraan kerana apa yang telah beliau usahakan selama pengajiannya di UTeM telah membuahkan hasil.

Berkongsi amalan dan prinsip beliau berkata, kita perlu percaya pada diri sendiri, menetapkan matlamat yang tinggi serta sentiasa berusaha tanpa perlu bimbang dengan hasilnya.