Skip to main content
12 July 2020

UTeM diberi kepercayaan urus pasukan negara beraksi di peringkat dunia dalam FISU esports Challenge 2020

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diberikan kepercayaan untuk menguruskan pasukan negara kita untuk beraksi dalam FISU eSports Challenge Football 2020 yang sedang berlangsung kini.
 
Pertandingan kali ini melibatkan acara bola sepak (FIFA2020) yang menawarkan 2 pingat emas yang mana seramai 32 atlet bagi kategori lelaki daripada 32 negara dan seramai 16 atlet bagi kategori wanita daripada 16 buah negara telah mengesahkan penyertaan.
 
International University Sports Federation (FISU) yang merupakan badan sukan universiti dunia yang beroperasi di Switzerland buat julung kali menganjurkan pertandingan sukan elektronik ini dalam bentuk atas talian secara sepenuhnya bermula 6 hingga 16 Julai 2020.
 
Kementerian Pengajian Tinggi melalui Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) telah mengesahkan penyertaan dalam pertandingan berprestij ini dengan mengesahkan penyertaan dengan serorang atlet lelaki bersama seorang atlet wanita manakala UTeM telah dilantik bagi menguruskan pasukan Negara.
 
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) merangkap Pengerusi MASUM, Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap berkata, pasukan Malaysia diuruskan oleh Pegawai Belia & Sukan Kanan UTeM, Mohd Fairuz Azwad Mohd Zauwawi manakala kedua-dua atletnya adalah Muhammad Syamir Azri Nazli Lim dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Nur Fatihah Abdul Rahman dari Kolej Damansara Utama (KDU) Universiti College.
 
Jelas beliau, buat penyertaan pertama kali ini pasukan Malaysia mensasarkan pencapaian atlet berada dalam kelompok 4 terbaik bagi kedua-dua kategori yang disertai.
 
“Buat masa ini pasukan negara ditempatkan di Ancient Galaxy eSports Hub Melaka sebagai home ground bagi lokasi latihan pasukan dan pertandingan sepanjang kejohanan manakala kedua-dua atlet telah menjalani latihan intensif.
 
“Secara asasnya, dari segi pemilihan atlet, kedua-dua atlet negara ini telah dipilih melalui pertandingan yg telah dianjurkan oleh pihak MASUM pada tahun 2019 lalu,: ujarnya lagi.
 
Mengulas mengenai perkembangan semasa sehingga ke hari ini, Dr Nurulfajar berkata, kedua-dua atlet negara telah berjaya melepasi perlawanan peringkat kumpulan dan akan meneruskan pertandingan di peringkat kalah mati.
 
Menurutnyanya, pasukan negara telah mencatatkan kemenangan besar dalam semua perlawanan peringkat kumpulan bersama di samping terus beraksi cemerlang di samping nama besar dalam dunia sukan bola sepak seperti Argentina, Peru, Brazil, Portugal, Poland, Croatia, Paraguay, China, Arab Saudi, Iran dan Ukraine yang turut menyertai pertandingan tahun ini.
 
Beliau mengulas berkenaan sewaktu Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Malaysia bagi beraksi dalam kejohanan tersebut di kampus induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.