Skip to main content
11 September 2026

LEAD-GOV 2026 Memperkasa Kepemimpinan Masa Hadapan

MELAKA: Lebih 200 pemimpin, pegawai kanan, ahli akademik dan wakil industri berkumpul di sini bagi memperkukuh agenda kepimpinan masa hadapan menerusi Persidangan LEAD-GOV 2026: Kepimpinan Masa Hadapan – Memperkasa Governan, Integriti dan Inovasi.

Persidangan anjuran Pejabat Pendaftar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu berlangsung selama dua hari di sebuah hotel di Bandaraya Melaka sekali gus menghimpunkan wakil agensi Kerajaan Negeri Melaka dan Kerajaan Persekutuan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta pihak industri.

Penganjuran berkenaan menjadi platform strategik untuk membincangkan cabaran kepimpinan dalam mendepani perubahan teknologi dan landskap organisasi yang semakin kompleks, selain memberi penekanan terhadap pengukuhan governan, pembudayaan integriti dan pemacuan inovasi.

Perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menjalankan fungsi Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, manakala Naib Canselor UTeM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, menyampaikan ucapan alu-aluan.

Ucaptama disampaikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' TKPj Azmi Kamaruzaman, yang mengetengahkan kepentingan integriti dan pencegahan rasuah sebagai asas kepimpinan serta tadbir urus yang berkesan.

Persidangan turut menampilkan tiga tokoh inspirasi kini iaitu Profesor Adjung Dato’ CM Vignaesvaran (Vicks), Perunding Utama SMR HR Group, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain serta Pengerusi Majlis Agensi Kelayakan Malaysia, Profesor Emeritus Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.

Sementara itu, sesi forum yang dimoderasikan Kamarul Bahrin Haron menampilkan Timbalan EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka, YB Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin serta Ketua Inovasi (XR & Metaverse), CelcomDigi Berhad, Datin Dr. Masdiana Sulaiman.

Ketua Pegawai Operasi UTeM, Masdzarif Mahat, berkata LEAD-GOV 2026 memberi ruang kepada peserta memperluas perspektif kepimpinan menerusi perkongsian pengalaman, pandangan strategik dan amalan terbaik daripada tokoh serta pakar pelbagai sektor.

Beliau berkata, pemimpin masa hadapan perlu memiliki bukan sahaja keupayaan strategik dan kompetensi pengurusan, malah keupayaan memimpin secara beretika, bertanggungjawab dan berintegriti.

“Persidangan ini turut memperkukuh jaringan strategik antara institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan dan industri, sekali gus membuka ruang kepada perkongsian kepakaran serta kerjasama rentas sektor,” katanya.

Menurutnya, antara fokus persidangan adalah meningkatkan kefahaman peserta mengenai amalan governan dan tadbir urus yang baik, integriti dan pematuhan, pengurusan risiko organisasi serta inovasi dalam penyampaian perkhidmatan.

Menurut beliau hasil pelaksanaan program itu dijangka dapat memperkukuh kompetensi kepimpinan dan tadbir urus peserta, selain membentuk jaringan strategik yang lebih kukuh antara sektor awam, akademia dan industri.

“Pada masa sama, perkongsian idea dan perspektif baharu yang dicetuskan sepanjang persidangan boleh diterjemahkan kepada strategi serta inisiatif transformasi bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, pendigitalan dan kelestarian organisasi,” katanya.