Skip to main content
16 January 2026

UTeM Anjur Program National Womenpreneur Pitching Competition 2026 Cungkil Bakat Perniagaan Mahasiswi dan Serlahkan PKS Negara

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia menganjurkan Program National Womenpreneur Pitching Competition 2026 (NWPC) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur yang berlangsung selama 2 hari bermula dari 14 hingga 15 Januari ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan program yang memberikan impak langsung kepada sektor perniagaan dalam negara secara khususnya buat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Jelasnya, program ini tentunya menzahirkan kesungguhan UTeM dalam memperkasakan keusahawanan wanita kepada ekonomi negara serta memberikan pendedahan sebenar kepada mahasiswi tentang ekosistem perniagaan sebenar.

“Menerusi program ini kita mencungkil bakat mahasiswi dalam membentangkan idea perniagaan berpotensi tinggi yang diterajui oleh usahawan PKS serta menggalakkan inovasi, daya saing dan kelestarian perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan, Dr Johanna Abdullah Jaafar, berkata, NWPC ini melibatkan penyertaan dalam kalangan mahasiswi dari seluruh Universiti Awam, Politeknik dan universiti berkaitan kerajaan (GLU) dengan kerjasama usahawan PKS.

Katanya, pada hari pertama program kesemua para peserta dinilai oleh para juri secara atas talian manakala peserta yang layak ke peringkat akhir akan membentangkan idea perniagaan mereka pada hari kedua.

Para peserta dinilai oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada 2 golongan yang terdiri daripada juri akademia dan industri dan juara pertandingan ini bakal membawa pulang hadiah utama sebanyak RM 3,000.00, tempat kedua RM 2,000.00, dan tempat ketiga RM 1,000.00 serta 2 hadiah saguhati RM 500.00.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia, Yang Berhornat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada 15 Januari nanti