UTeM Pacu Transformasi Pendidikan Digital Negara Menerusi IUCEL 2025
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus membuktikan prestij dan keunggulannya sebagai peneraju pendidikan digital negara apabila dipilih sebagai tuan rumah International University Carnival on E-Learning (IUCEL) 2025 yang berlangsung, baru-baru ini.
Penganjuran berprestij ini menandakan komitmen berterusan UTeM dalam menerajui transformasi e-pembelajaran dan inovasi pendidikan tinggi di peringkat nasional serta antarabangsa.
Program yang diadakan di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal ini telah berjaya menghimpunkan sebanyak 168 penyertaan melibatkan warga akademik, pelajar dan penyelidik daripada universiti awam, swasta dan institusi antarabangsa, termasuk Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Taylor’s University, Norwegian University of Science and Technology serta Xiangnan University, Chenzhou China.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, berkata penganjuran IUCEL 2025 mencerminkan peranan strategik universiti dalam membentuk landskap pendidikan digital masa hadapan negara.
Ujarnya, UTeM bukan sekadar menjadi penganjur, malah bertindak sebagai pemacu utama inovasi e-pembelajaran negara bilamana IUCEL 2025 menjadi wadah penting untuk menyatukan kepakaran akademik, teknologi dan industri bagi membangunkan ekosistem pembelajaran digital yang mampan, inklusif dan berimpak tinggi.
“Transformasi pendidikan digital bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik dalam melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan era kecerdasan buatan.
“Melalui integrasi teknologi digital, kepintaran buatan (AI) dan keselamatan siber, UTeM komited melahirkan graduan berfikiran futuristik, berkemahiran tinggi dan mampu bersaing di peringkat global,” katanya.
Karnival tahunan yang dianjurkan secara penggiliran oleh Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dengan kerjasama Majlis Ketua-Ketua e-Pembelajaran IPTA Malaysia (MEIPTA) serta sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini berfungsi sebagai platform utama untuk mempamerkan inovasi e-pembelajaran, teknologi pendidikan, TVET digital, micro-credential dan sumber pendidikan terbuka.
Majlis perasmian IUCEL 2025 telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, yang memuji kepimpinan UTeM dalam menyokong agenda pendigitalan pendidikan tinggi negara.
Beliau turut menekankan peranan penting teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam memperkukuh ekosistem pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan graduan berdaya saing dan inovatif.
Sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan inovasi yang dipertandingkan, sebanyak 34 Pingat Emas, 84 Pingat Perak dan 50 Pingat Gangsa telah dianugerahkan. Selain itu, enam Anugerah IUCEL 2025 turut disampaikan kepada tokoh dan inovator e-pembelajaran yang cemerlang dari seluruh negara.
Majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah tertinggi, iaitu Higher Education e-Learning Maestro Award 2025, kepada Profesor Dr. Nor Aziah Alias dari Akademi Profesor Malaysia.
Turut hadir di IUCEL 2025 ini, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Profesor Dr Mohd Rizal Salleh dan Pengarah Pusat Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh, Profesor Ir Dr Gan Chin Kim.
Pemilihan UTeM sebagai tuan rumah IUCEL 2025 turut mengukuhkan lagi reputasi universiti sebagai hab inovasi pendidikan digital, sejajar dengan penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX) yang menjadi teras strategik UTeM dalam memacu pendidikan berasaskan AI dan keselamatan siber.
Secara keseluruhan, IUCEL 2025 bukan sahaja memperkukuh jaringan kolaborasi antara universiti, industri dan komuniti akademik global, malah menegaskan komitmen teguh UTeM dalam menjulang agenda pendidikan digital negara serta membentuk masa depan pembelajaran yang lebih fleksibel, inovatif dan berdaya tahan