Penerbit UTeM Terima Anugerah Penerbit Harapan di Anugerah MAPIM–KPT
Penerbit Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencatat satu lagi kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Penerbit Harapan sempena Anugerah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Kali Ke-16 tahun 2025, sekali gus mengiktiraf pencapaian dan potensi Penerbit UTeM dalam landskap penerbitan akademik negara.
Anugerah diterima dalam sebuah majlis di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Jabatan Pendidikan Tinggi. Profesor Dr. Zainal Amin Ayub, baru-baru ini.
Dengan kemenangan ini Penerbit UTeM telah menerima sebuah piala, wang tunai RM 1,000.00 bersama sijil kecemerlangan yang telah diterima oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Profesor Dr Zahriladha Zakaria dan Pengarah Penerbit UTeM, Ts Dr Ruziah Ali.
.
Mengulas kejayaan tersebut, Dr. Ruziah berkata, anugerah ini menjadi suntikan semangat buat seluruh warga Penerbit UTeM untuk terus memperkasa kualiti penerbitan universiti.
“Anugerah ini merupakan pengiktirafan terhadap usaha kolektif warga Penerbit UTeM bersama para penulis dan rakan kolaborasi dalam menghasilkan karya ilmiah berkualiti.
“Ia juga menjadi dorongan kepada kami untuk terus berinovasi, memperkukuh tadbir urus penerbitan serta memastikan setiap karya yang diterbitkan memberi impak kepada pembangunan ilmu dan masyarakat,” katanya.
Penerbit UTeM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para penulis, editor, penyunting, penyelidik, warga UTeM serta rakan kolaborasi industri atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang usaha ini.
Dalam perkembangan berkaitan, sempena Makan Malam Jubli Perak 25 Tahun UTeM, Penerbit UTeM turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Tun
Canselor sebagai pengiktirafan lanjutan atas komitmen tinggi dalam memartabatkan penerbitan ilmiah, pengembangan ilmu serta menyokong agenda universiti ke arah kecemerlangan.
Menutup tirai 2025, dua pengiktirafan berprestij ini menjadi simbol perjalanan penuh usaha, dedikasi dan komitmen Penerbit UTeM, melangkah ke 2026, Penerbit UTeM berazam untuk membuka ruang yang lebih luas dalam menerbitkan karya berkualiti, memperkukuh kolaborasi, dan menyebarkan manfaat ilmu kepada masyarakat serta negara.