Skip to main content
11 November 2025

Penerbitan Ilmiah Negara: Jurnal Advanced Manufacturing Technology UTeM Menang Anugerah CRÈME 2025

MELAKA: Dari makmal ke meja penerbitan, dedikasi warga akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akhirnya membuahkan hasil apabila Jurnal Advanced Manufacturing Technology (JAMT) diumumkan sebagai pemenang Anugerah CREME 2025, sekali gus mengangkat nama universiti dalam arena penerbitan ilmiah negara.

Anugerah berprestij itu diberikan kepada jurnal akademik tempatan yang menunjukkan kecemerlangan dalam aspek kualiti penyelidikan, ketelusan proses penilaian dan sumbangan terhadap pembangunan ilmu dalam bidang kepakaran masing-masing.

Kemenangan tersebut menegaskan keupayaan UTeM untuk berdiri sebaris dengan universiti penyelidikan utama lain melalui penerbitan ilmiah yang berimpak, beretika dan relevan kepada keperluan industri serta masyarakat.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr. Massila Kamalrudin, menzahirkan rasa bangga atas pengiktirafan tersebut dan menyifatkannya sebagai kejayaan kolektif hasil budaya kerja berpasukan yang kukuh di universiti.

“Pencapaian JAMT ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap jurnal semata-mata, tetapi cerminan kekuatan ekosistem penyelidikan dan penerbitan ilmiah di UTeM yang terus berkembang.

“Ia membuktikan bahawa UTeM bukan sahaja melahirkan penyelidikan berkualiti, tetapi juga menyalurkannya kepada komuniti akademik global melalui platform penerbitan yang berwibawa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penerbit UTeM, Dr. Ruziah Ali, turut menyatakan penghargaan kepada seluruh pasukan editorial JAMT yang komited mengekalkan mutu penerbitan serta integriti penilaian.

“Kejayaan ini hasil kerja keras pasukan yang sentiasa memastikan setiap artikel diterbitkan melalui proses semakan yang teliti dan berintegriti tinggi. Kami akan terus

memperkukuh jaringan dengan penyelidik dalam dan luar negara bagi memperluas capaian JAMT di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Dengan pengiktirafan ini, UTeM melalui Penerbit UTeM bertekad untuk terus mempertingkat kualiti penerbitan ilmiah, menggalakkan budaya penulisan akademik berimpak tinggi serta memperkukuh kedudukan universiti sebagai peneraju pengetahuan dan inovasi dalam bidang teknologi dan kejuruteraan.