Skip to main content
23 July 2025

UTeM Terima Pelajar Baharu Diploma Teramai Sejak Penubuhan

Universiti TVET Terbaik di Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mencapai kejayaan cemerlang memberangsangkan apabila menerima pelajar baharu diploma teramai sejak penubuhan universiti ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM telah mencatatkan penerimaan seramai 719 orang pelajar diploma sewaktu hari pendaftaran perdana, semalam.

Jelasnya, angka pendaftaran pelajar diploma semalam telah menjadi sejarah dan hadiah sempena sambutan Jubli Perak UTeM ke 25 sejak ditubuhkan pada 1 Disember 2000.

“Bukan setakat itu sahaja malahan jumlah kemasukan pelajar diploma sewaktu hari pendaftaran perdana ke UTeM sejak 3 tahun lalu sejak tahun 2023 turut mempamerkan tren lonjakan yang ketara.

“Pendaftaran pelajar diploma sewaktu hari pendaftaran perdana ke UTeM pada tahun 2023 adalah seramai 414 orang (jumlah keseluruhan 474) manakala bagi tahun 2024 pula telah mencatatkan seramai 572 orang (jumlah keseluruhan 606) dan begitulah peningkatan bagi tahun 2025 yang paling istimewa buat UTeM,” katanya.

Ujarnya, daripada 719 orang pelajar tersebut pecahan diploma adalah 144 orang Diploma Kejuruteraan Elektrik, 137 orang Diploma Kejuruteraan Elektronik, 109 orang Diploma Kejuruteraan Mekanikal.

“Manakala seramai 137 orang telah mendaftar untuk Diploma Kejuruteraan Pembuatan dan 192 orang pelajar mengikuti Diploma Teknologi Maklumat,” katanya sewaktu lawatan beliau melihat sendiri proses pendaftaran pelajar baharu diploma di Kompleks Dewan Kuliah UTeM, semalam.

Menurut beliau, pencapaian ini jelas membuktikan bahawa UTeM terus menjadi pilihan utama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan dan TVET.

Mengulas lanjut beliau menyatakan antara lain faktor kecemerlangan UTeM dalam aspek kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) 2024 98.1% dan Universiti Pilihan Majikan (Employers’ Choice of University Award) tentunya menjadi tarikan pelajar.

“Kesemua pelajar ini akan mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) yang dijadualkan pada bulan Oktober bersama pelajar baharu peringkat ijazah akan mendaftar nanti,” katanya lagi.

Sementara itu, menerusi pendaftaran semalam, UTeM turut menerima pelajar pasangan kembar lelaki Muhammad Shakir Zufayri Mohd Shafiz-Azari dan adiknya Muhammad Syakir Zharfan Mohd Shafiz-Azari yang telah mendaftar bagi mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Elektrik.

Menurut Muhammad Shakir Zufayri (18 tahun) beliau dan adiknya memang telah bercita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik di UTeM sejak di alam persekolahan lagi.

Katanya, beliau telah memilih UTeM sebagai pilihan pertama sewaktu proses pemilihan dalam sistem UPU online sebelum ini dan bersyukur kerana hajatnya kesampaian.

“Sebelum ini saya dan adik sentiasa mengikuti kisah pencapaian dan kecemerlangan UTeM dari semasa ke semasa dalam pelbagai aspek samada akademik, penyelidikan mahupun kemenjadian mahasiswanya.

“Bertambah semangat lagi apabila mengetahui UTeM lengkap dengan fasiliti moden dalam persekitaran kondusif tambahan pula dengan kelengkapan bilik kuliah dan makmal berteknologi tinggi bertaraf dunia,” katanya.