Skip to main content
04 July 2025

UTeM Terajui Pembangunan Industrial Playground Nasional Pacu Pertumbuhan Industri & Ekonomi Negara

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merintis dan menerajui pembangunan inisiatif Industrial Playground dengan pendekatan konsep ‘Universiti di Industri dan Industri di Universiti’ bagi memacu pertumbuhan industri dan ekonomi dalam negara.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, Industrial Playground ini bermatlamat untuk mengintegrasikan dunia akademia dan industri melalui penemuan teknologi baharu bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Jelasnya, Industrial Playground ini adalah terdiri daripada 4 komponen ekosistem yang fleksibel iaitu Technology-Industry Center of Excellence (Ti-CoE), Manufacturing Center, Design house dan Inkubator.

“Ia menjadi rangkaian dinamik yang mana segenap elemen seperti syarikat, teknologi, inovasi dan infrastruktur saling berinteraksi untuk mencipta nilai dengan kerjasama industri.

“Matlamat utama Industrial Playground adalah mempertingkatkan pembangunan produk baharu, teknologi terkehadapan dan perkhidmatan terkini di samping turut mempergiatkan aktiviti pengkomersialan melalui perkongsian pintar bersama industri,” katanya lagi.

Mengulas tentang impak lain Massila berkata, Industrial Playground ini dijangka akan melahirkan lebih banyak syarikat Spin Off/Start-up bagi membantu membentuk hasil penyelidikan universiti kepada produk sebenar.

“Pada masa yang sama tentunya merangsang penghasilan teknologi baharu yang melibatkan ciptaan, kaedah, atau sistem yang lebih moden, efisien, tenaga kerja berkemahiran serta berpendapatan tinggi,” katanya.

Ujarnya, UTeM mengambil pendekatan serius dan komited dalam menzahirkan projek berimpak tinggi nasional dan berdaya kompetitif antarabangsa ini dan sehingga kini beberapa pencapaian semasa telah dicapai.

“Empat komponen utama pengisian telah dilaksanakan antaranya adalah menerusi kerjasama UTeM bersama industri maka terhasilnya penerimaan endownmen dalam

bentuk in-kind berupa mesin dan peralatan daripada Maxeon Solar Technologies dengan nilai RM10 juta.

“Keduanya adalah penubuhan Makmal Industri yang berfokus kepada pembangunan dan pengujian bahan komposit termoplastik dan termoset untuk aplikasi aeroangkasa bersama Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC).

“Ketiga adalah pembangunan Pusat Latihan CNC Termaju bersama Def Advance Technologies dan keempat adalah pemerkasaan Teaching Factory (TF) UTeM yang membawa pendekatan pengajaran yang inovatif dengan membawa projek praktikal atau berasaskan amali ke dalam bilik darjah atau makmal.

“Ia turut melibatkan kajian kes projek sebenar dari industri digunakan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran, dan sebagai balasan, penyelesaian yang boleh diterima terhadap masalah kejuruteraan tersebut dikongsi bersama rakan industri,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Profesor Dr Zahriladha Zakaria berkata, pembangunan projek Indusrial Playground ini adalah selari dan menepati 5 perkara utama berkaitan Kementerian Pendidikan Tinggi, negara dan dunia.

“Ia adalah selari dengan dasar Pendidikan Dan Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET) Termaju bagi Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) 2030, menyokong Pelan Strategik UTeM di bawah ST 2 “Mempromosi RICE, Menjana Pendapatan.

“Turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di bawah SDG nombor 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur iaitu meningkatkan penyelidikan dan menaik taraf teknologi perindustrian.

“Di samping itu, inisiatif ini adalah selari dengan 7 Fokus KPT yang menepati Fokus 2: Pengukuhan Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi dan turut berpadanan dengan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 yang dijadualkan akan dilancarkan nanti,” katanya.