Skip to main content
22 April 2025

UTeM Catat Lonjakan Peratusan Tertinggi Bagi Kesemua 5 Indikator Utama Ukuran Kebolehpasaran Graduan

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengukir kecemerlangan berterusan apabila berjaya mencatatkan lonjakan peratusan tertinggi bagi kesemua 5 indikator utama yang menjadi ukuran keunggulan kebolehpasaran graduan sesebuah universiti bagi tahun 2024.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan kejayaan yang begitu membanggakan kerana kesemua 5 indikator utama yang menjadi ukuran kebolehpasaran graduan telah dicapai dengan cemerlang oleh UTeM.

Jelasnya, bagi indikator Kadar Bekerja Graduan (GE) UTeM mempamerkan peningkatan daripada 97.6% (2023) melonjak kepada 97.9% (2024) dan memberikan impak jelas menunjukkan lebih ramai graduan memperoleh pekerjaan.

Katanya, Kadar Kebolehpasaran Graduan (GM) UTeM melonjak daripada 97.7% (2023) kepada 98.1% (2024) dan perkara ini menandakan graduan UTeM semakin menyerlah dalam pasaran kerja secara global.

“Sementara itu, UTeM turut menyerlah bagi indikator Graduan Bekerja dalam Bidang Pengajian yang mana telah menunjukkan peningkatan ketara daripada 60.7% (2023) kepada 65.1% (2024).

“Indikator Graduan Menerima Gaji Melebihi RM3,000 pula turut menzahirkan lonjakan memberangsakan dan memberikan gambaran nyata semakin ramai graduan UTeM mendapat gaji yang sangat kompetitif bilamana meningkat dari 24.4% (2023) kepada

35.7% (2024),” katanya lagi.

Massila menyatakan UTeM turut mencatatkan kejayaan bagi indikator Peratusan Graduan Tidak Bekerja apabila berjaya mencatatkan penurunan peratusan daripada 2.4% (2023) kepada 2.1% (2024).

Maklumat ini adalah dipetik daripada surat yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kepada UTeM dan juga perincian menerusi dapatan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang baharu sahaja dipaparkan.

Katanya lagi, UTeM turut mencatatkan kejayaan tersendiri bilamana tiga tahun berurut-turut dari tahun 2022 hingga 2024 sebanyak 100 % graduan UTeM telah memberikan maklum balas terhadap kaji selidik, memastikan data yang diperoleh adalah tepat dan menyeluruh.

Mengulas lanjut Massila berkata, graduan UTeM menjadi buruan utama syarikat-syarikat ternama dunia dan tempatan antaranya adalah seperti Infineon, Honda, Huawei, Intel Microelectronics, Jabil Penang Sdn. Bhd, Texas Instruments Sdn. Bhd,, Telekom Malaysia Berhad dan Tenaga Nasional Berhad.