Karnival Jom Masuk U 2025 Zon Selatan Pada 26 & 27 April 2025 Bertempat di Dewan Canselor UTeM
Program jerayawara pendidikan tinggi negara iaitu Jom Masuk U 2025 (JMU 2025) Zon Selatan bakal berlangsung pada 26 dan 27 April bertempat di Dewan Canselor, Kampus Induk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, Melaka.
Pengarah Program JMU Zon Selatan, Dr Mohd Nur Azmi Nordin berkata, ini merupakan berita baik kepada seluruh warga negeri zon selatan meliputi negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor bagi mendapat maklumat lengkap berhubung kemasukan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Katanya, program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini bertujuan untuk mempromosi maklumat mengenai program pendidikan yang ditawarkan IPT di bawah kementerian merangkumi Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) serta penglibatan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).
"JMU 2025 menyasarkan kumpulan pelajar yang menduduki peperiksaan dan tentunya kumpulan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan diploma atau setarafnya.
"Pelbagai aktiviti menarik turut ditawarkan sepanjang JMU 2025 Zon Selatan di UTeM berlangsung antaranya pameran, sesi konsultasi UPUOnline(R), konsultasi penajaan, biasiswa, pinjaman dan bantuan kewangan pendidikan tinggi," ujarnya.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM telah diberikan mandat dan kepercayaan oleh KPT untuk menjadi tuan rumah menjayakan JMU Zon Selatan 2025.
“JMU 2025 diharap menjadi medan terbaik kepada para pelajar yang ingin mendapatkan maklumat lengkap dan panduan yang sewajarnya bagi memeilih destinasi pengajian di menara gading.
“Justeru KPT dan UTeM menjemput semua pihak khususnya pelajar, ibu bapa, penjaga, guru, kaunselor dan orang awam agar turut serta dalam JMU 2025 Zon
Selatan yang akan diadakan di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, nanti,” ujarnya lagi