Skip to main content
14 January 2025

Penyelidik UTeM Cipta Sistem Kawalan Penyiraman dan Pembajaan Guna Teknologi IoT Untuk Tingkatkan Hasil Pertanian

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya membangunkan Sistem Fertigasi Pintar berteraskan teknologi Internet Kebendaan (IoT) bagi meningkatkan hasil pengeluaran tanaman pertanian.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan antara hasil terbaharu ciptaan sekumpulan penyelidik UTeM bagi membantu meningkatkan hasil tanaman sektor pertanian.

Jelasnya, menerusi sistem ini juga telah turut mampu mengawal kualiti tanaman pertanian yang menariknya apabila kumpulan petani boleh membuat kawalan sistem fertigasi seperti kawalan pam air secara jarak jauh.

Katanya, usaha kumpulan penyelidik UTeM menzahirkan kepakaran yang dimiliki dengan sentuhan teknologi terkini telah berjaya menaik taraf sektor pertanian ke tahap yang lebih moden dan maju.

“Projek Sistem Fertigasi Pintar yang menggunakan Internet Kebendaan ini telah dijayakan di Kebun Komuniti Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka sempena program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti@UniMADANI) di bawah tajaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

“Projek ini dijayakan menerusi usahama menerusi Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka dan sekumpulan penyelidik sejak pertengahan tahun 2024 lalu,” ujarnya dalam kenyataan media hari ini.

Sistem Fertigasi Pintar Berasaskan IoT Untuk Pertanian telah dibangunkan sekumpulan penyelidik UTeM dari yang diketuai oleh Prof Madya Dr Imran Mohd Ibrahim dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK).

Empat orang ahli kumpulan lain terdiri daripada Ts. Mohd Faizal Halim, Ts. Dr Ismail Abu Shah, Ts. Dr Mohd Gadafie Ibrahim dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP) dan Ts. Mohd Erdi Ayob dari FTKEK.

Menceritakan tentang tentang ciri-ciri dan fungsi produk inovasi Dr Imran berkata, Sistem

Fertigasi Pintar dengan teknologi IoT ini menghubungkan sensor di ladang secara tanpa wayar menggunakan Teknologi LORA ke Pusat Pengumpulan Data.

“Data ini seterusnya dihantar ke Penghala Wayarles menggunakan teknologi Wireless LAN manakala Penghala Wayarles pula akan berkomunikasi dengan Menara Pemancar menggunakan frekuensi 5G.

“Maklumat data ini boleh diakses pada paparan pemuka peranti tablet atau komputer secara jarak jauh dan ini membolehkan petani memantau kandungan air dan baja pada tanaman serta tahap kesihatan pokok pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada.

“Malahan mereka juga boleh membuat kawalan kepada Sistem Fertigasi ini seperti kawalan pam air secara jarak jauh terhadap seribu pokok yang ditanam dalam polibeg dapat disiram secara serentak dan sekata yang memberikan hasil kesemua pokok membesar dan mengeluarkan hasil tanaman yang sekata kualitinya,” ujarnya.

Mengulas tentang kualiti tanaman menerusi sistem ini, katanya, secara lazim untuk tanaman timun selama 6 minggu akan menghasilkan sebanyak 6 tan namun dengan sistem ini mampu menjana hasil tuaian sebanyak 4.5 tan selepas 2 minggu dan kami menjangkakan pada minggu keenam mampu menuai sebanyak 10 tan.

“Di samping itu, 95 peratus hasil tuaian adalah hasil gred A dan B yang boleh dijual manakala hanya 5 peratus gred C yang tidak boleh dijual dan perkara ini berbeza dengan kaedah konvensional yang biasanya sebanyak 20 peratus hasil tuaian adalah gred C,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, produk ini berpotensi untuk dikomersialkan secara meluas untuk pertanian di Malaysia yang mana terbukti fungsi dan keberkesanannya setelah diuji di ladang berskala pertanian komersial iaitu 1000 pokok timun dan telah memberikan dapatan yang sangat positif dan menunjukkan peningkatan hasil tuaian.

Majlis Pelancaran Sistem Fertigasi Pintar Berasaskan Teknologi IoT Di telah diadakan di Kebun Komuniti Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka sempena program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti@UniMADANI) dan telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Alor Gajah, YB Adly Zahari, baru-baru ini.