Skip to main content
16 October 2024

UTeM Serah Bantuan Komprehensif Buat Pelajar Baharu Kategori Asnaf Tegar  dan Bantuan Permulaan Semester Kepada 254 Pelajar Kanan B40

Seramai lima orang pelajar baharu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi sesi 2024/2025 dalam kategori asnaf tegar telah menerima bantuan kebajikan komprehensif dan diraikan dalam satu majlis khas yang diadakan baru-baru ini.

Dua daripada mereka Dharshini Subramaniam dan Nur Hidaayah Masri menerima Biasiswa Anak Emas UTeM menerusi Yayasan Tun Canselor yang membiayai pengajian mereka sepenuhnya.

Dharshini Subramaniam, penerima Biasiswa Anak Emas pertama bagi tahun ini merupakan  seorang anak yatim yang tinggal bersama ibunya berstatus OKU dan abangnya yang lumpuh akibat kemalangan  dan tidak mampu untuk membantu menyara keluarga seperti sebelum ini. 

Nur Hidaayah Masri, penerima Biasiswa Anak Emas kedua pula tinggal bersama ayahnya yang sakit dan mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan yang tidak menentu menyebabkan mereka hidup dalam keadaan kedaifan. 

Kedua-dua penerima Biasiswa Anak Emas UTeM ini menerima 6 faedah sepanjang pengajian iaitu dtanggung keseluruhan yuran pengajian sehingga tamat pengajian, diberikan wang saraan hidup bulanan sebanyak RM500.00, RM1,500.00 wang awal pengajian, seunit komputer riba setiap seorang, bantuan segera melalui Bank Makanan, penginapan asrama sehingga tamat pengajian serta bimbingan kerjaya dan kaunseling. 

Pada masa yang sama pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Yayasan Perkasa Siswa, turut bersetuju memberi sumbangan tambahan sebanyak RM500.00 seorang yang akan disampaikan dalam masa terdekat bagi membantu mengurangkan beban kedua-dua pelajar ini.

Sementara itu, seorang pelajar baharu asnaf Nurul Balqis Hairulnizam akan ditawarkan biasiswa TVET B40 di bawah kendalian pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang akan membiayai sepenuhnya yuran pengajian termasuk wang saku.

Di samping itu, beliau turut akan menerima seunit komputer riba daripada pihak UTeM bagi membantu beliau dalam pembelajaran di sini. 

Prihatin dengan kebajikan pelajar baharu asnaf, UTeM turut memberikan bantuan komputer riba setiap seorang kepada 2 orang lagi pelajar Ruslina Hanani Rusli dan Muhamad Haiqal. 

Dalam majlis yang sama, UTeM turut membela nasib seramai 254 orang pelajar kanan B40 yang terkesan disebabkan perlu mencari rumah sewa di luar kampus mulai sesi kemasukan Oktober sesi 2024/2025. 

Semua pelajar ini diberikan sebanyak RM250.00 setiap seorang oleh pihak UTeM bagi membantu membayar wang pendahuluan rumah sewa dan kumpulan pelajar ini telah diwakili oleh Mohamad Ukashah sebagai simbolik penerima wang saguhati tersebut. 

Mengulas mengenai pemberian sumbangan bantuan pihak UTeM ini para pelajar terbabit meluahkan rasa terharu dan amat bersyukur kerana nasib mereka terbela di samping terbentang luas peluang untuk mereka mencapai cita-cita mereka dengan pengajian di UTeM. 

Mereka turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin dan pihak HEPA kerana prihatin dan memberikan pelbagai bantuan komprehensif yang sama sekali mereka tidak jangkakan. 

Majlis ini diadakan sebelum perasmian Minggu Haluan Siswa (MHS) dan penyerahan sumbangan biasiswa dan inisiatif Kebajikan telah disampaikan oleh Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin. 

Dr Massila berkata, UTeM sentiasa di hadapan dan proaktif dalam membela nasib pelajar cemerlang dalam kalangan asnaf tegar yang ingin menyambung pengajian dengan pakej inisiatif-inisiatif bantuan yang komprehensif.

“Kita berharap semua penerima biasiswa dan inisiatif ini memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang mereka terima semoga mereka terus bersemangat menempuh alam kampus sebagai mahasiswa dan mahasiswi yang cemerlang kerana ini merupakan anjakan yang dapat merubah kehidupan keluarga mereka pada masa akan datang,” ujarnya.   

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif menyatakan semua mahasiswa baharu turut akan diberi bantuan kebajikan terutama kepada pelajar dari keluarga B40. 

Katanya lagi, Pejabat HEPA UTeM bertekad untuk terus proaktif membantu pelajar baharu dengan turun padang sekerap mungkin bagi memastikan setiap keperluan pelajar dapat dipenuhi dan seterusnya memastikan pelajar akan terus fokus belajar untuk mencapai kejayaan cemerlang di sini.