UTeM Anjur Majlis Khas Raikan Sambutan Hari Kelahiran ke 75 TYT Tun Canselor
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menganjurkan majlis khas sambutan Hari Kelahiran Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam yang ke 75 yang diadakan di salah sebuah hotel ternama di Bandaraya Melaka, semalam.
Majlis ini turut dihadiri oleh isteri Tun Mohd Ali, Toh Puan Datuk Wira (Dr.). Asmah Ab Rahman.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, objektif utama majlis ini bertujuan untuk menyambut Hari Jadi Tuan Yang Terutama Tun Canselor UTeM yang ke-75 dan secara tidak langsung sebagai satu tanda penghargaan buat beliau sebagai Canselor UTeM.
Jelas beliau, pada majlis ini UTeM turut menjemput wakil-wakil daripada beberapa buah sekolah dan juga pertubuhan yang terlibat di Melaka untuk bersama-sama dalam majlis ini.
“Ini menzahirkan keprihatinan UTeM untuk berkongsi rezeki bersama-sama dengan komuniti di samping merapatkan hubungan bersama dengan masyarakat setempat seperti yang disarankan oleh Tun Canselor.
“UTeM turut menyampaikan sumbangan sebanyak 1,887 barangan baik terpakai seperti perabot pejabat, perabot asrama, perabot bilik kuliah, penghawa dingin dan kipas siling kepada sekolah-sekolah dan juga pertubuhan yang terlibat di Melaka.
“Sumbangan ini bertujuan membantu pengoperasian jabatan dan sekolah-sekolah berkenaan agar operasi dan persekitaran pengajaran dan pembelajaran berjalan dalam keadaan yang selesa.
“Terdahulu, pihak sekolah juga telah datang dan melihat sendiri kondisi barang-barang tersebut dan bersetuju untuk menerima bagi penggunaan di sekolah masing-masing,” ujarnya.
Antara penerima adalah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Nibong,Jabatan Agama Islam Melaka, Majlis Agama Islam Melaka, SK Bukit Beruang, SK Gangsa, SK Seri Machap, SMK Seri Kota, SK Bukit Lintang, SK Ujong Pasir, Pertubuhan Darul Ikhlas Negeri Melaka dan lain-lain.
Mengulas lanjut majlis ini Massila berkata, uniknya majlis ini turut disajikan dengan 32 biji aneka kek kreativiti dan inovasi khas bertemakan sambutan hari kelahiran Tun Canselor yang disediakan oleh seluruh Pusat Tanggungjawab (PTj) UTeM, persatuan-persatuan di bawah UTeM seperti PRAKTIS dan KEKUTeM serta UTeM Holdings Sdn Bhd dan Yayasan Tun Canselor.
Kesemua kek berkenaan seterusnya turut diagihkan kepada Tadika dan Taska Awlad Imtiyyaz, UTeM, Maahad Tahfiz Darul Huda, Durian Tunggal, Sekolah Rendah Islam Al-Munawwarah, Durian Tunggal, Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah, Bukit Katil dan Pusat Tahfiz Al-Quran dan Al-Hadis Duyong, Perigi Hang Tuah.
Pusat Tarbiyyah dan Dakwah Mahmudiyyah, Jambatan Duyong, Rumah Anak-anak Yatim/Miskin Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Tanjung Kling, Lembaga Pengurusan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Islam, Paya Rumput, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Ceria/Harapan, Bukit Baru dan Prakash Well Care Centre, Bukit Baru.
Antara pengisian majlis ini ini turut diserikan dengan persembahan kebudayaan yang dijayakan dari kalangan pelajar-pelajar UTeM
Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan Tertinggi, staf-staf dan juga Majlis Perwakilan Pelajar UTeM.