Skip to main content
19 January 2023

Lebih 1,000 Pelajar dan Staf UTeM Jayakan Brisk Walk Bersama Tun Canselor

Lebih seribu orang pelajar dan staf Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjayakan program UTeM Eco Fit Brisk Walk Bersama Tun Canselor baru-baru ini.

Program anjuran Pusat Sukan UTeM ini diserikan dengan penyertaan Canselor UTeM, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam di sekitar Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, antara objektif program adalah untuk menggalakkan budaya bersukan dan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar dan warga UTeM.

Katanya, program ini juga menzahirkan sokongan UTeM kepada amalan tenaga hijau bagi penganjuran sukan sifar pelepasan karbon.

Jelasnya, platform ini tentunya menjadi medan ramah mesra dan santai antara Tun Canselor bersama dengan pihak pengurusan tertinggi, warga kerja dan pelajar UTeM.

“Di samping itu, ianya turut menjadi elemen penyumbang kepada pembentukan Keluarga UTeM yang sihat dan kompeten serta melahirkan pelajar yang mempunyai nilai tambah.

“Antaranya adalah melonjak keupayaan mereka dalam menganjur dan menguruskan secara bersama program bercorak sukan sebegini,” ujar Massila dalam kenyataannya sempena program ini.

Ujarnya lagi, program ini turut menguji kecergasan para peserta apabila perlu melengkapkan trek laluan sejauh 8.8 kilometer di samping menikmati keindahan dan kehijauan flora dalam Kampus Induk UTeM ini.

Pada majlis yang sama Massila terlebih dahulu telah menyempurnakan Pelancaran UTeM Eco Fit 2023.

Turut bersama dalam program ini adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Ir Dr Ghazali Omar dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Prof Madya Dr Sabri Mohamad.