Skip to main content
07 September 2021

UTeM Perkenalkan Konsep Baharu Pelaksanaan Kursus Bina Pasukan Secara Dalam Talian

Arus pandemik yang melanda dunia tidak menjadi halangan buat Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meneruskan agenda pembangunan sumber manusia secara dinamik dan bersepadu.
 
Menurut kenyataan UTeM, selari itu UTeM mengenengahkan konsep baharu dalam melaksanakan Kursus Bina Pasukan secara dalam talian menerusi aplikasi webex, baru-baru ini.
 
Kursus Bina Pasukan julung kali secara dalam talian ini melibatkan penglibatan seramai 150 orang kakitangan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) berkonsepkan “One Spirit One Voice One Team: FTMK Truly World”
 
Penolong Pendaftar Kanan Unit Latihan dan Penjanaan, Bahagian Pembangunan Bakat, Pejabat Pendaftar UTeM, Mohd Nizam Mazlan berkata, konsep baharu ini merupakan pendekatan terkini menggunakan teknologi semasa dalam konteks latihan dan pembangunan sumber manusia.
 
Jelas beliau, secara umumnya kursus Bina Pasukan konsep baharu ini menuntut peserta untuk lebih cakna teknologi digital sambil semuanya berada di rumah lebih selamat, santai namun objektif pembangunan sumber manusia tetap tercapai.
 
Menyentuh mengenai tatacara dan etika kursus Bina Pasukan cara baharu ini ianya tidak sukar kerana para peserta telah diberikan penerangan seawal program.
 
Mengulas mengenai keunikan pengisian dan keberkesanan kursus, Dekan FTMK UTeM, Prof Ts Dr Rabiah Ahmad berkata, kursus yang diadakan selama 2 hari setengah itu antaranya melibatkan perkongsian motivasi dan syarahan berkonsepkan Neuro Linguistic Program (NLP).
 
Jelasnya, setiap staf diletakkan di dalam kumpulan mengikut analisa sistem representasi diri iaitu visual, auditori dan kinestatik dan setiap kumpulan diberikan ruang siber melalui aplikasi webex untuk mereka berkomunikasi dan melaksanakan tugasan kursus.
 
Katanya, motivasi dan syarahan pula lebih berbentuk interaktif maya ini membolehkan peserta bertanya soalan sama ada secara lisan atau dalam ruangan chat.
 
“Menerusi kursus ini para peserta juga berpeluang mempamerkan bakat seperti nyanyian dan bermain muzik secara live mahupun rakaman.
 
“Di samping itu, kepakaran dan kreativiti dalam konteks multimedia dalam kalangan pensyarah turut diuji dan dikongsi bersama dengan para peserta menerusi acara yang dikenali War Cry,” ujarnya lagi.
 
Mengulas lanjut, Dr Rabiah berkata, konsep baharu kursus ini amatlah sesuai dilaksanakan kerana ianya tidak melibatkan logistik yang pelbagai namun kita mampu memantapkan jentera organisasi dengan konsep teknologi terkini dan pengisian yang hebat.