Skip to main content
Bersempena dengan kewujudan dan bersinarnya prestij Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang telah menjangkau 2 dekad usia, turut diadakan diadakan pelancaran Hari Alumni UTeM pada 1 Disember 2020 lalu.
 
Hari Alumni pada 1 Disember setiap tahun menjadi tarikh keramat buat semua kerana sama dengan tarikh penubuhan UTeM dan tema buat kali pertama ini adalah “Alumni Memperkasa Legasi UTeM”.
 
Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat UTeM, Prof Madya Ir Dr Md Nazri Othman berkata, antara pengisian Hari Alumni ini maka sebuah buku bertajuk “ Coretan Jiwa-Jiwa Alumni” (edisi 20 tahun UTeM) telah diterbitkan bagi menyantuni para alumni yang telah berjaya.
 
Jelasnya, buku ini memuatkan beberapa perkongsian tokoh alumni yang telah berjaya dalam segala lapangan serta turut dimuatkan berita bergambar aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh alumni bersama masyarakat dan jangkaan buku ini akan diterbitkan secara meluas pada tahun hadapan.
 
Katanya, antara pengisian lain turut diadakan sempena Hari Alumni adalah forum secara langsung menerusi Facebook bertajuk “From Zero To Hero” menampilkan barisan ikon alumni UTeM termasuk Azrul Aziz yang turut merupakan mantan Ahli Lembaga Pengarah UTeM dan Pengerusi Persatuan Alumni UTeM (AUTeM).
 
Sesi ini mendapat tontonan yang ramai dalam kalangan pelajar, staf, barisan alumni UTeM yang berada di seluruh dunia serta orang ramai turut mengikuti siaran tersebut bagi menghayati perjalanan dan pengisian hebat graduan UTeM.
 
Mengulas lanjut Dr Nazri berkata, pada keesokannya pula pihak fakulti UTeM turut menjayakan kesinambungan Hari Alumni secara bersepadu dengan menganjurkan beberapa program menarik secara atas talian seperti “Alumni Back to Campus”, “Sembang Santai Bersama Alumni FKEKK” dan “Alumni Career Talk”.
 
Mengulas peranan dan sumbangan alumni pula, Pengarah Pusat Alumni dan Kebolehpasaran Graduan, UTeM, Dr. Khairuddin Osman berkata, kerjasama yang terjalin antara alumni dan UTeM merupakan satu pertalian yang kukuh bagi mewujudkan jaringan sosial yang mantap dan membanggakan.
 
Katanya, alumni merupakan aset penting yang tidak ternilai harganya dan boleh menjamin kelestarian masa depan sesebuah universiti di samping menjadi role model atau duta universiti.
 
“Sumbangan tenaga dan buah fikiran alumni merupakan aset intelektual universiti untuk kepentingan serta pembangunan mahasiswa yang sedia ada dan alumni sentiasa berkongsi inspirasi serta input kepada Alma Mater agar terhasilnya dapatan yang pragmatik,” ujarnya lagi baru-baru ini