Skip to main content
19 November 2020

UTeM Iktiraf Pencapaian Sukan Kakitangan

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengiktiraf dan menghargai kakitangannya yang menyumbang kepada pembangunan sukan menerusi Anugerah Sukan Staf yang diadakan bertempat di Bangunan Canselori UTeM, Durian Tunggal pada 4 November 2020 lalu.
 
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, Anugerah Sukan Staf merupakan medan pengiktirafan kepada staf UTeM yang telah bergiat aktif dan mencapai kejayaan dalam aktiviti sukan yang disertai serta melonjakkan nama UTeM di persada sukan peringkat nasional dan antarabangsa.
Jelas beliau, sebanyak 8 kategori telah dipertandingkan pada acara tersebut iaitu Anugerah Olahragawan, Anugerah Olahragawati, Anugerah Atlet Harapan, Anugerah Pasukan Cemerlang, Anugerah Pasukan Harapan, Anugerah Pengurus Cemerlang, Anugerah Kelab Kecemerlangan dan Anugerah Penggiat Sukan.
 
Katanya, anugerah ini yang dianjurkan oleh Pusat Sukan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar selaras dengan matlamat universiti bagi membentuk warga UTeM yang sihat dan produktif serta mengaplikasikan konsep 1 Staf 1 Sukan yang dipupuk kepada staf UTeM.
 
"Program ini juga turut membuka peluang kepada staf untuk bersaing secara sihat dan terlibat secara langusng dalam aktiviti pembangunan sukan staf bagi melahirkan insan yang seimbang dalam aspek kepimpinan, sukan, kebudayaan, kesukarelawan, inovasi, keusahawanan, pengucapan awam dan juga pelbagai lagi," ujarnya lagi.
 
Menerusi program ini menyaksikan Azhar Ab Aziz merangkul Anugerah Olahragawan dan membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM500.00 bersama piala dan sjil penghargaan manakala Anugerah Olahragawati pula dirangkul oleh Radhiah Abd Rahman dengan hadiah kemenangan yang sama.
 
Pada majlis yang sama, Anugerah Atlet Harapan telah dimenangi oleh Mohamad Haniff Harun manakala Anugerah Pasukan Cemerlang pula telah dirangkul oleh Pasukan Bola Sepak Veteran.
 
Sementara itu, bagi Anugerah Pasukan Harapan telah menjadi milik kumpulan olahraga (kuartet 4x100 meter) manakala Anugerah Kelab Cemerlang telah dimenangi oleh kumpulan berbasikal.
 
Bagi kategori Anugerah Pengurus Cemerlang pula menjadi milik Mohd Zaki Abu bakar (petanque) manakala Anugerah Penggiat Sukan pula telah dimenangi oleh Zainal Bidin yang mana para pemenang tersebut membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM400.00 di samping piala dan sijil penghargaan