Skip to main content
04 July 2019

PENYELIDIK UTeM KETUAI KAJIAN FENOMENA KILAT DI ANTARTIKA (KUTUB SELATAN)

Penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mencatat sejarah tersendiri apabila terpilih bagi menjalankan kajian lanjut berhubung fenomena kilat di Semenanjung Antartika.

Pensyarah Kanan dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) Dr Mohd Riduan Ahmad telah dianugerahkan Skim Fellowship Sains Polar Asia 2019.

Skim ini adalah di bawah tajaan Institut Penyelidikan Polar Korea (KOPRI) di bawah naungan kerajaan Korea Selatan.

Dr. Riduan akan bekerjasama dengan Saintis Penyelidikan KOPRI iaitu Dr. Sang-jong Park bagi mendapatkan satu penemuan baru berkaitan jenis-jenis kilat yang berlaku di Semenanjung Antartika (Kutub Selatan) berkenaan. 

Penemuan baru ini dapat memberikan panduan yang dinantikan oleh kumpulan saintis dunia bagi merungkai permasalahan tentang senario pemanasan global dan perubahan iklim yang sedang dihadapi di planet bumi.

Program saintifik bertempat di Ibu Pejabat KOPRI di Incheon Korea Selatan akan bermula pada 6 Julai 2019 dan mengambil selama tiga minggu berturut-turut dan dijangka tamat pada 28 Julai 2019 bagi fasa pertama.

Seterusnya antara bulan Januari dan Februari 2020 pula akan dijalankan program kembara dan eksperimen di Stesyen King Sejong di Semenanjung Antartika selama 2 bulan.

Pada fasa ini, kajian lanjut akan dimulakan menerusi bantuan alat pengukur kilat bagi mengukur medan elektromagnetik kilat yang dapat dikesan dalam radius 300 kilometer dari Stesyen King Sejong.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM Profesor Dr Raha Abdul Rahim berharap penyelidikan ini mencapai kejayaan yang diharapkan kerana ianya bakal memberikan impak besar kepada dunia.