Kumpulan penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya memenangi geran penyelidikan Eco Champion Awards 2021 daripada World Wide Fun for Nature (WWF) Malaysia, baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kemenangan ini merupakan pengiktirafan oleh pihak WWF Malaysia terhadap kumpulan penyelidik UTeM yang menjalankan akitiviti berkaitan inisiatif hijau dan alam sekitar kepada komuniti setempat.
Jelas beliau, kumpulan penyelidik UTeM mengambil inisiatif membangunkan sistem pemantauan kualiti air tawar berasaskan Internet Kebendaan (IoT) yang efektif dan berkos rendah.
Ujarnya, usaha ini adalah untuk membantu pihak berkuasa memantau dan mengawasi kualiti air tawar secara jauh dan mengesan sebarang pencemaran air tawar yang sedang berlaku dengan lebih awal.
Kumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) UTeM diketuai oleh Ir. Ts. Dr. Ranjit Singh a/l Sarban Singh bersama ahlinya Ir. Siti Aisyah Anas serta Muhammad Faiz Mohd Kamal yang merupakan pelajar pascasiswazah.
Mengulas mengenai perjalanan penglibatan mereka dalam pertandingan Eco Champion Awards 2021 Dr Ranjit berkata, fasa pertandingan awalnya mereka telah menyempurnakan kertas cadangan projek pada 15 Disember 2020 lalu.
Penghasilan video pendek dilengkapkan sebelumnya bagi menerangkan tentang cadangan projek disempurnakan pada 27 Januari seterusnya
hasil keputusan penilaian mengumumkan projek cadangan mereka telah berjaya terpilih dan memenangi geran khas bernilai RM 3,000.00 ini.
Jelas beliau, dengan geran yang telah dimenangi maka program selanjutnya akan dijayakan seperti pembangunan sistem, pengujian sistem dan penyediaan laporan dalam tempoh projek sebenar bermula 31 Mac hingga 10 Jun 2021 selama 10 minggu.
Ekoran larangan pergerakkan rentas negeri disebabkan oleh pandemik Covid-19 melambatkan perlaksanaan pengujian sistem yang sepatutnya dijalankan di kawasan air tawar sekitar Lembah Klang justeru tu, sistem dibangunkan akan diuji di sungai Melaka terlebih dahulu bagi tujuan verifikasi awal terhadap kebolehfungsian sistem dalam memantau kualiti air tawar.
Harapan kami agar apa yang kami usahakan ini berjaya menghasilkan sistem yang dapat mengesan parameter air fizikokimia menggunakan sensor yang berkos rendah dan menguji tahap keberkesanan sistem dalam mengesan pencemaran air tawar.
Mengulas lanjut Ranjit berharap kumpulan dapat mengadakan kerjasama secara berterusan dengan WWF-Malaysia dengan menjalankan akitiviti berkaitan inisiatif hijau dan alam sekitar kepada komuniti setempat.