Skip to main content
11 December 2020

Geran Industri CREST : UTeM Terokai Penyelidikan Teknologi Terbaharu Stretchable Conductive Ink Penuhi Permintaan Tinggi Industri Elektronik Dunia

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerokai penyelidikan teknologi terbaharu Stretchable Conductive Ink (SCI) untuk memenuhi permintaan tinggi aplikasi industri elektronik bertaraf global.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, projek penyelidikan ini merupakan salah satu pencapaian berprestij UTeM apabila diberi kepercayaan bagi menjayakan projek industri berimpak bertaraf global.
 
Jelas beliau, penyelidikan ini dibiayai menerusi geran industri bernilai RM 1.2 juta yang dianugerahkan oleh Collaborative Research In Engineering, Science And Technology Center (CREST) kepada UTeM dengan rakan industri,Top Empire Sdn Bhd.
 
Katanya,  kami bersyukur dianugerahkan geran industri dari CREST ini kerana ianya sukar diperolehi oleh mana-mana universiti dalam negara apatah pula menjayakan misi mendapatkan teknologi terbaharu bagi memberikan sinar dalam sektor industri elektronik bertaraf dunia.
 
“Jika dirungkai perspektif cabaran maka tidak dinafikan ianya merupakan cabaran hebat bagi mendapatkan penemuan terbaru bahan termaju ini yang mana impaknya sekaligus mewarnai sektor elektronik secara bersepadu.
 
“Lantaran itu SCI telah mendapat permintaan yang semakin meningkat kerana fleksibiliti dan kemampuan pengeluarannya yang tinggi sambil mengekalkan kekonduksian pada tahap tinggi,” ujarnya dalam kenyataan semalam.
 
Mengulas lanjut Dr Raha meletakkan harapan dan keyakinan bahawa pasukan penyelidik UTeM dapat menzahirkan kepakaran dimiliki bagi mencapai objektif penyelidikan bahan termaju ini untuk kegunaan industri elektronik yang sedang berkembang pesat selari Revolusi Industri 4.0.
 
Misi penyelidikan berimpak dunia ini diketuai oleh ketua penyelidik Profesor Dr Ghazali Omar bersama Penyelaras Projek Dr Siti Hajar Sheikh Md Fadzullah serta ahli kumpulan penyelidik berpengalaman UTeM. 
 
Terdahulu pihak UTeM telahpun mengikat kerjasama strategik bersama dengan pihak CREST dan Top Empire sebelum ini menerusi pemetraian Memorandum Perjanjian (MoA) pada bulan November lalu.
 
CREST merupakan badan konsortium yang mendapat suntikan dana daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI).