Skip to main content
27 February 2026

UTeM Terima Sumbangan Geran Endowmen Bernilai RM 51 Juta Dari Industri Rancakkan Pemerkasaan TVET Aeroangkasa

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima sumbangan Geran Endowmen sebanyak RM 51 juta daripada syarikat Aeronas Aerocraft Sdn Bhd bagi tujuan penyerlahan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aeroangkasa.

Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (Memangku) Raja Shazreen Petra kepada Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin sewaktu Sidang Akademia Penyelidikan MTUN Bersama Industri 2026, baru-baru ini.

Majlis ini turut disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Dato’ Dr Husaini Omar.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, sumbangan berkenaan dapat membantu UTeM dalam memperhebatkan usaha memperkasakan bidang TVET berteraskan Aeroangkasa.

Jelasnya, ini menzahirkan kepercayaan pihak industri terhadap UTeM serta kemenjadian hubungan strategik antara UTeM dan industri memberikan impak langsung yang sangat positif.

Ujarnya, menerusi sokongan Aeronas ini juga akan meningkatkan lagi keupayaan aeroangkasa di samping keupayaan pembuatan termaju UTeM serta integrasi antara program industri dan platform akademik.

“Dengan nadi sokongan berterusan daripada industri sebegini juga menjadi instrumen pemangkin untuk membuka kunci geran negara, dana padanan dan pelaburan strategik.

“Malahan mampu melonjakkan UTeM sebagai pusat kecemerlangan yang menyokong pensijilan industri, kesediaan pembuatan, penyelidikan dan pembangunan gunaan serta pembangunan bakat;

Katanya lagi, kerjasama ini adalah turut menjadikan satu lonjakan strategik untuk memastikan UTeM terus dinamik dan menjadi rujukan utama dalam bidang TVET berteknologi tinggi, khususnya Aeroangkasa.

“Usaha ini tentunya seiringan dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa utama di rantau Asia Tenggara yang memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi serta ekosistem industri yang kukuh dan berdaya saing.

Program-program TVET Aeroangkasa ini akan dijalankan sepenuhnya di dua buah fakulti iaitu Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Melakanikal (FTKM) dan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri Pembuatan (FTKIP).

Tambah Massila, pada masa yang sama UTeM turut berkolaborasi dalam bidang TVET Aeroangkasa ini di peringkat global bersama sebuah institusi dari Rusia iaitu Moscow Aviation Institute.