Alumni UTeM Cipta Sistem Pintar Ternakan Ikan Mudah Alih Untuk Komuniti
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Persatuan Alumni UTeM telah mencipta Sistem Pintar Ternakan Ikan Mudah Alih bagi tujuan disumbangkan kepada komuniti Kampung Angkat UTeM, Kampung Bukit Nibong, Melaka sebagai suntikan ekonomi komuniti.
Sumbangan ini disampaikan sempena dengan lawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Canselor UTeM Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, ke Kampung Angkat UTeM di sini, baru-baru ini.
Naib Canseor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, sumbangan alumni ini mencerminkan semangat kesepaduan dan kebersamaan dalam memacu pembangunan lestari kampung angkat UTeM.
Jelasnya, perkara ini unik dan menarik kerana Alumni UTeM cipta sendiri sebanyak 8 set Sistem Pintar Ternakan Ikan Mudah Alih bagi tujuan untuk diserahkan kepada kegunaan pembangunan ekonomi komuniti kampung ini.
“Bukan setakat itu sahaja malahan mereka turut memasang lampu solar di masjid kampung ini bagi tujuan pencahayaan yang lebih ekonomi bagi tujuan kegunaan masyarakat umum.
“UTeM amat berbangga dengan sumbangan alumni yang sentiasa menjadi rakan strategik dalam memacu inovasi tempatan.
Projek-projek ini bukan sahaja membantu komuniti menjana pendapatan melalui teknologi pintar, malah memperkukuh ekosistem pembangunan desa yang inklusif dan lestari,” ujarnya lagi.
Mengulas tentang ciptaan dan pembangunan inovasi ini, wakil jawatankuasa Persatuan Alumni UTeM, Ahmad Nawawi Mohd Amin berkata, uniknya Sistem Pintar Ternakan Ikan Mudah Alih ini dibangunkan dengan sistem penjagaan air secara automatik untuk memastikan air kolam penternakan sentiasa dalam keadaan baik.
Katanya. ia bertujuan dan memastikan ternakan dalam keadaan yang baik dan sihat melalui penjaagan air yang berkala secara automatik dan dilengkapi dengan 4 elemen sistem utama lain.
“Ia dilengkapi dengan sistem solar untuk bekalan kuasa sistem oksigen, sistem pemasa utk pemberian makanan automatik, sistem pemasa automatik pertukaran air
dan sistem pengisian air secara automatik.
“Kami mencipta dan membangunkan kelapan-lapan set ini dengan kos yang rendah namun mampu memberikan impak besar kepada komuniti kampung ini yang merupakan Kampung Angkat UTeM,” ujarnya.
Menyentuh tentang tempoh masa mencipta dan menyiapkan kelapan-lapan set berkenaan katanya mereka hanya mengambil masa yang singkat sekitar 2 minggu sahaja.
Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (UACE), Dr Hazli Rafis Abdul Rahim berkata, kolaborasi erat antara alumni,universiti dan komuniti adalah kunci kejayaan pelaksanaan projek-projek inovasi ini.
“Kami percaya pendekatan Quadruple Helix yang merangkumi akademia, industri, kerajaan dan komuniti ini akan menjadi pemacu utama kepada pembangunan desa yang mampan,” katanya.
Pada majlis yang sama UTeM mempamerkan beberapa produk inovasi bertaraf antarabangsa yang telah dihasilkan oleh kumpulan penyelidik yang telah mencipta nama dan rangkaian kejayaan di persada global.
Antara pengisian lain turut diadakan adalah sesi taklimat khas mengenai projek Kampung Angkat UTeM, lawatan ke tapak projek pembuatan kerisik oleh penduduk kampung serta sesi penghargaan kepada alumni yang terlibat secara langsung dalam pemindahan teknologi dan kepakaran.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif, Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global, Hazman Hasib dan wakil dari Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM Melaka.