UTeM Pelopori Penawaran Skim Pengantarabangsaan Teknikal Serlah Penyelidikan Teknikal dan Martabat Bahasa Malaysia
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mempelopori dalam penawaran Skim Pengantarabangsaan Teknikal kepada kakitangan akademiknya bagi menyerlahkan penyelidikan teknikal di peringkat antarabangsa serta memartabatkan Bahasa Malaysia.
Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, matlamat penubuhan Skim Pengantarabangsaan Teknikal ini adalah untuk memartabatkan ilmu melalui aktiviti penyelidikan, penerbitan, persidangan dan jaringan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Katanya, antara lain adalah untuk memperkaya dan memperluas bidang teknikal dalam pelbagai disiplin ilmu di samping mengukuh dan memperluaskan rangkaian kerjasama serta perkongsian pintar antara universiti dan institusi di persada global.
“Pada masa yang sama pelaksanaan skim ini juga dilihat mampu menyerlahkan keterlihatan universiti dalam bidang kesarjanaan dan penyelidikan teknikal secara khusus,” ujarnya.
Mengulas tentang impak dan hasil yang diharapkan daripada skim ini, beliau menyatakan UTeM berharap calon yang mengikuti skim ini berjaya menghasilkan laporan teknikal berimpak tinggi, manuskrip buku ilmiah dalam penulisan melayu, artikel jurnal berindeks dan pendaftaran hak cipta produk inovasi.
“Penubuhan skim ini tentunya turut menjadi serampang 2 mata senada dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkasakan Bahasa Malaysia dan turut menepati Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia 2023-2025 pada Fokus 1 iaitu Pengukuhan Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi.
“Usaha ini jelas mencerminkan komitmen dan kesungguhan UTeM dalam merealisasikan proses penyermarakan bidang penyelidikan dan teknikal bukan hanya di peringkat nasional malahan terus melebar melintas sempadan dunia,” katanya.
Menyentuh tentang kriteria, kelayakan dan tempoh skim ini, Massila berkata ia terbuka kepada kakitangan akademik UTeM jawatan Pensyarah Kanan (DS13) ke atas yang berjawatan tetap.
“Pada masa yang sama pemohon juga mestilah memperoleh geran antarabangsa dari universiti atau industri ataupun geranan padanan antarabangsa yang diperakui seterusnya memenuhi syarat lain berkaitan barulah layak dipertimbangkan bagi mengikuti skim ini dalam tempoh ditetapkan selama 1 hingga 2 tahun,” ujarnya dalam kenyataan media UTeM.
Mengulas lanjut beliau berkata, pada masa kini skim ini telah mula berjalan yang mana terdapat staf pertama sedang menjalani Skim Pengantarabangsaan Teknikal ini di Ajman University, Emririah Arab Bersatu bermula pada 14 Februari, baru-baru ini.