Memberdayakan Komuniti dan Jayakan Program Pemindahan Ilmu di Kampung Angkat Madani UTeM, Kampung Bukit Nibong Ayer Molek
Selaras dengan seruan nasional Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjayakan program memberdayakan komuniti dan program pemindahan ilmu di Kampung Angkat Madani UTeM di Kampung Bukit Nibong, Ayer Molek, Melaka, hari ini (12 Oktober).
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila berkata, UTeM menjayakan program Kampung Angkat Madani ini adalah seiringan hasrat Perdana Menteri Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Jelasnya, UTeM turut berpegang teguh kepada prinsip bahawa ilmu yang dipelajari di universiti bukan sekadar untuk kegunaan akademik tetapi juga untuk membawa manfaat kepada masyarakat dan negara.
Katanya, menerusi program ini UTeM memainkan peranan dalam pembangunan teknologi dan pemindahan kepakaran yang berimpak tinggi kepada masyarakat menerusi inisiatif komprehensif selari dengan kepakaran dimiliki dan memberi impak langsung kemajuan komuniti selaras dengan semangat Malaysia MADANI.
Mengulas mengenai pengisian program yang dijayakan oleh UTeM di kampung ini, Massila berkata, ia merangkumi 4 komponen iaitu Program STEM Pemindahan Kepakaran Kejuruteraan Mahasiswa, Program Asas Keusahawanan, Program Minyak Masak Terpakai dan Program Kaki Palsu Cetakan 3D.
“Program STEM Pemindahan Kepakaran Kejuruteraan Mahasiswa melibatkan para pelajar UTeM berkongsi ilmu dan kemahiran kejuruteraan dengan komuniti, terutamanya kepada generasi muda bagi memupuk minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.
“Program Asas Keusahawanan pula bertujuan melahirkan usahawan yang lebih kompetitif dan inovatif dalam menguruskan perniagaan bagi merancakkan pembangunan setempat.
“Sementara itu Program Minyak Masak Terpakai memupuk budaya mengurus bahan buangan dan menjana pendapatan manakala program Kaki Palsu Cetakan 3D pula UTeM memberikan pendedahan teknologi 3D printing untuk menghasilkan kaki palsu dengan kos yang lebih rendah dan lebih cepat,” ujarnya sewaktu Majlis Perasmian Kampung Angkat Madani UTeM di sini.
Mengulas mengenai impak program Kampung Angkat Madani UTeM ini Massila berkata, ia memberikan impak berangkai yang menyentuh beberapa aspek utama dalam konteks pembangunan komuniti setempat secara menyeluruh.
“Ia merangkumi aspek menyemai dan memperkukuh kualiti dan keberjayaan pendidikan buat anak muda, meningkatkan taraf sosio ekonomi setempat, pendedahan teknologi baharu dunia dan sentuhan langsung hubungan strategik antara universiti dan komuniti.
“Segenap elemen ini menjadi nadi dan suntikan utama ke arah meningkatkan persekitaran kesejahteraan komuniti sekaligus menyahut seruan gagasan Malaysia Madani,” ujarnya lagi.
Program ini telah dirasmikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman dan dihadiri Pegawai Perpaduan Daerah Melaka Tengah, Nadiayul’ Ain Md Saharif, Pengerusi JPKK Kampung Bukit Nibong, Ayer Molek, Kamarulzaman Othman dan Penghulu Kanan DUN Ayer Molek, Ruslan Yusoff.
Turut hadir hadir Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Ir Dr Ghazali Omar, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif, Penolong Naib Canselor Strategik dan Kelestarian Global, Prof Madya Mohd Rahimi Yusoff dan Pengarah Pusat Hubungan Kolaborasi RICE UTeM Melaka, Profesor Dr Effendi Mohamad.
Sempena perasmian Kampung Angkat Madani UTeM tersebut, pihak UTeM Holdings Sdn Bhd (UHSB) turut menyampaikan sumbangan awal sebanyak RM 5,000.00.