Skip to main content
04 August 2023

UTeM Kongsi Kepakaran Bersama Cranfield University Perluaskan Penerokaan Penyelidikan Wire Arc Additive Manufacturing (WAAM)

UTeM Kongsi Kepakaran Bersama Cranfield University Perluaskan Penerokaan Penyelidikan Wire Arc Additive Manufacturing (WAAM)

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kongsi kepakaran bersama dengan Cranfield University, United Kingdom dalam memperluaskan lagi penerokaan bidang Pembuatan Tambah Wayar Arka (WAAM).

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, WAAM merupakan salah satu bidang kepakaran dimiliki UTeM yang menjadi tumpuan utama bidang kejuruteraan pembuatan dunia selari dengan keperluan Revolusi Industri (IR 4.0).

Katanya, teknologi WAAM menjadi pemangkin kepada inovasi pembuatan produk acuan logam dunia pada masa kini kerana integrasi prosesnya lebih jitu yang mana bermula daripada proses rekabentuk sehinggalah penghasilan produk akhir melibatkan bahan logam secara terus.

Jelasnya, antara lain WAAM lebih berkecenderungan dan sesuai untuk mencetak objek bersaiz besar dan berat di samping proses pembuatannya mencapai kelajuan pengeluaran yang tinggi terutamanya untuk cetakan objek dengan saiz besar.

“Justeru UTeM dan Cranfield University seiringan dalam penyelidikan ini bagi meluaskan lagi dimensi tahap teknologi tinggi WAAM ini sekaligus memberikan wadah baharu buat dunia perindustrian pembuatan persada global.

“Kami berharap kerjasama hebat antara UTeM dan Cranfield University yang telah dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) pada bulan Oktober lalu tentunya akan membuahkan hasil yang diharapkan,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu perbincangan terperinci secara bersemuka berhubung kesinambungan penyelidikan WAAM ini telah dilaksanakan pada 24 dan 25 Julai baru-baru ini di Pusat Pengajian Siswazah (PPS), Kampus Induk UTeM bersama dengan wakil Cranfield University.

Cranfield University diwakili oleh 2 orang tenaga pakar dalam bidang WAAM iaitu Profesor Dr Stewart Williams dan Dr Jialuo Ding yang turut berpengalaman luas dalam penemuan penyelidikan bidang tersebut sebelum ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar berkata, UTeM mengambil pendekatan serius dalam menjayakan kempen penyelidikan bersama ini.

Ujarnya, kerjasama ini juga turut memberikan impak berantaian dalam aspek pemerkasaan bidang akademik langsung iaitu bidang Kejuruteraan Pembuatan dan Teknologi Pembuatan Tambah Wayar Arka.

“Sempena lawatan tersebut turut diisi dengan Seminar WAAM yang diadakan secara bersama oleh Center of Smart System and Innovative Design (CoSSID), Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) dan PPS UTeM.

“Seminar ini telah dihadiri oleh wakli-wakil industri, penyelidik, staf dan pelajar UTeM serta institusi pengajian tinggi yang lain yang menjadi medan untuk mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan dalam bidang pembuatan tambah menggunakan kaedah WAAM,” ujarnya lagi.

Pada majlis tersebut turut dihadiri oleh Dekan FKP UTeM, Prof Ir Dr Hambali Arep@Ariff dan Dekan PPS, Prof Dr Mohd Rizal Salleh.

Pada masa yang sama UTeM turut berkongsi dengan program lawatan makmal berteknologi tinggi di sini dengan memberikan penerangan terperinci tentang fasiliti dan teknologi semasa di UTeM terutamanya yang berkaitan dalam bidang kajian WAAM.

UTeM terus menzahirkan komitmen bersama dengan Cranfield University dalam memajukan ilmu dan teknologi demi kemajuan industri kejuruteraan pembuatan yang memberikan impak langsung kepada kemaslahatan komuniti dunia.