Skip to main content
15 March 2023

Pejabat Bendahari UTeM Anjur Seminar Bimbing Pegawai Kewangan Seluruh Negara Laksana Pendigitalan Kewangan

Pejabat Bendahari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya menganjurkan UTeM Finance Seminar 3.0 (UFiS 3.0), Dasar dan Cabaran Pelaksanaan Pendigitalan Kewangan.

UFiS 3.0 telah diadakan selama 2 hari di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini melibatkan penyertaan seramai 200 orang peserta.

Ianya terdiri dari kalangan Pegawai Kewangan, Juruaudit dan Pegawai Sistem Maklumat dari universiti awam dan swasta, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi swasta dari seluruh Malaysia.

UFiS 3.0 telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim mewakili Naib Canselor UTeM.

Bendahari UTeM, Khairul Taib berkata, antara objektif program ini adalah untuk memberikan pendedahan, perkembangan semasa dan perkongsian amalan terbaik kepada peserta dalam melaksanakan pendigitalan kewangan.

Jelasnya, menerusi seminar ini para peserta mendapat pendedahan realiti sebenar berhubung dengan dasar-dasar kewangan dan cabaran dalam melaksanakan pendigitalan kewangan.

“Menerusi UFiS 3.0 ini kita juga turut mendapat info dan maklumat berhubung status serta perkembangan semasa proses pendigitalan kewangan negara.

“Selain itu, platform ini tentunya turut memberi pendedahan awal kepada peserta untuk pelaksanaan pendigitalan di agensi masing-masing yang mana selaras dengan hasrat dan aspirasi Perdana Menteri ke arah Malaysia Madani,” ujarnya lagi.

Mengupas mengenai kelainan program ini beliau menyatakan ini satu-satunya seminar kewangan yang dianjurkan dan diuruskan sepenuhnya oleh Staf Pejabat Bendahari UTeM.

“Ianya turut dilengkapkan dengan dengan topik-topik yang relevan dan bertepatan dengan konsep dan hasrat semasa negara,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, penganjuran Seminar Kewangan ini memberikan impak besar dengan memudahkan pelaksanaan pendigitalan kewangan dalam negara.

Ujarnya lagi, penganjuran seminar sebegini turut membawa kepada perubahan minda dalam memenuhi impian dan hasrat negara dengan sokongan dan penglibatan dari semua pihak, pelbagai agensi dari dalam mahu pun luar negara.