Skip to main content
26 May 2022

UTeM bangunkan Aplikasi DeepAI khas buat golongan Autisme jana pendapatan menerusi lukisan

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang berkepakaran tinggi dalam bidang teknologi digital terkini telah berjaya membangunkan aplikasi DeepAI bagi membantu golongan komuniti autisme menjana pendapatan mereka sendiri.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM terus menzahirkan peranannya sebagai institusi kecemerlangan ilmu dan kepakaran penyelidikan dan inovasi dengan turut sama membantu komuniti yang memerlukan.
 
Jelasnya, terbaharu, UTeM telah membangunkan teknologi yang dikenali sebagai aplikasi DeepAI yang merupakan suatu teknik kecerdasan buatan (AI) yang mampu menghasilkan karya seni lukisan secara automatik menggunakan pelbagai gaya yang mengagumkan.
 
Katanya, ini bermakna kanak-kanak autisme yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) boleh menggunakan gaya lukisan mereka sendiri untuk menghasilkan lebih banyak lukisan cantik dengan menggunakan aplikasi DeepAI.
 
Projek ini telah dijayakan oleh sekumpulan profesor dan pensyarah yang diketuai oleh Prof Ts. Dr. Goh Ong Sing bersama ahlinya iaitu, Dr. Yogan Jaya Kumar, Dr Zuraini Othman, Dr. Ngo Hea Choon dan Muhammad Helmy Emran dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, UTeM.
 
Dua orang lagi adalah Prof Ts. Dr. Effendi Mohamad dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan dan Mohd Shamsuri Md Saad dari Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan, UTeM.
 
Dr Goh Ong Sin berkata, projek yang telah kami bangunkan ini adalah menzahirkan tanggungjawab sosial dan diharapkan dapat membantu sepenuhnya golongan OKU terbabit khususnya golongan autisme bagi mengembangkan bakat seni mereka.
 
Ujarnya, kami berharap aplikasi ini akan memudahkan mereka menghasilkan karya seni mereka sendiri hingga boleh membawanya ke pasaran luas sebagai kaedah atau sumber buat mereka menjana pendapatan sendiri.
 
Mengimbau di peringkat awal, Dr Goh menyatakan kanak-kanak autisme biasanya mengambil masa satu hingga tiga minggu untuk menghasilkan sesuatu lukisan.
 
“Keadaan itu tentunya memberi kesukaran dan melambatkan proses penjanaan pendapatan melalui penjualan karya seni mereka namun dengan aplikasi DeepAI berjaya mengubah segalanya apabila mereka dapat hasilkan sesebuah lukisan hanya mengambil masa sehari sahaja,” ujarnya lagi.
 
Katanya lagi, inisiatif ini juga telah mendapat pengiktirafan dan sokongan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) melalui Program Inisiatif Inovasi Sosial Malaysia (MyIS Komuniti).
 
Mengulas lanjut, katanya kini UTeM sedang bekerjasama dengan Sektor Pendidikan Khas Melaka dan Negeri Sembilan serta Persatuan Kanner Melaka bagi mengenalpasti dan melatih kanak-kanak autisme serta OKU yang mempunyai minat dan bakat dalam seni lukisan.
 
Sehubungan itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Zainab Abu Kassim berkata, beliau terpegun melihat karya-karya seni lukisan yang dihasilkan menerusi aplikasi DeepAI.
 
“Lukisan-lukisan yang terhasil bukan sahaja cantik, malah mempunyai gaya yang amat unik,” ujarnya ketika dalam lawatan kerja ke UTeM baru-baru ini