Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengambil inisiatif menganjurkan Pesta Konvo Maya TUAH UTeM 2021 atau TUAH Virtual Convo Fest (VCF ‘21) bermula 8 hingga 12 Disember sempena dengan Majlis Konvokesyen UTeM ke-16.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, TUAH VCF 2021 ini menampilkan keunikan tersendiri kerana ianya dilaksanakan dalam bentuk maya dan boleh diikuti secara langsung menerusi Facebook MyHEP UTeM.
Jelasnya, ianya turut membabitkan kerjasama di peringkat nasional melibatkan agensi besar yang turut sama mewarnai pengisian sepanjang 5 hari TUAH VCF UTeM berlangsung.
Katanya, agensi terbabit adalah Pusat Inovasi & Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka (JKKN), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Yayasan Wakaf Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Pejabat Mufti Melaka.
“Majlis perasmian bagi TUAH VCF akan disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad secara maya pada 8 Disember jam 8.30 malam di mana berlangsungnya TUAH VCF ini,” ujarnya.
Berhubung pengisian TUAH VCF, beliau menyatakan, pelbagai pengisian hebat telah disusun seperti TUAH National and Culture Awareness, Industrial Talk, Virtual Night With Deen, Alumni Talk, Wacana Belia TUAH, e-sport, Volunteer Talk dan Social Innovation & Pitching Challenge yang diadakan sepenuhnya secara dalam talian.
Dr Sabri berkata, sempena dengan TUAH VCF ini telah berjaya menarik minat pelbagai agensi memberikan sumbangan kepada UTeM dalam bentuk pek makanan, wang tunai dan dalam bentuk tajaan yang semuanya berjumlah RM 224,000.00.
“Sumbangan dalam bentuk pek makanan telah disumbangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bernilai RM 156,500.00, YaPEIM sebanyak RM 34,000.00 dan Yayasan Wakaf Malaysia sebanyak RM 7,000.00.
“Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan menyumbang wang tunai sebanyak RM 10,000.00 manakala Pejabat Mufti Melaka pula menyumbang wang tunai sebanyak RM 1,000.00 dan pek makanan bernilai RM 1,500.00.
“Sementara itu MaGIC, MDEC, JKKN dan YADIM pula memberikan sumbangan dalam bentuk tajaan hebat dalam bentuk pengisian program dan hadiah pertandingan dalam TUAH VCF,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini di Pejabat Hal Ehwal Pelajar, kampus induk UTeM, Durian Tunggal.