Pusat Kecemerlangan dan Kesarjanaan Akademik (CAES) dengan kerjasama Centre Of Technopreneurship Development (CTeD) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan Innovative Teaching & Learning Research Day 2018 (InTReD’18) baru-baru ini bertempat di Kampus Teknologi, Ayer Keroh.
Menurut Pengarah CAES UTeM Prof. Dr. Faaizah Shahbodin berkata, program tersebut diadakan bertujuan meningkatkan aktiviti penyelidikan serta pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan warga akademik.
Katanya, menerusi medan ini ianya juga telah berjaya membuka laluan kepada warga akademik untuk mempelbagaikan laluan kerjaya berkonsepkan menjadi pendidik untuk berkongsi idea atau mempelbagaikan pencapaian mereka dalam bidang pengajaran dan pembelajaran.
Program ini telah menerima 41 penyertaan abstrak dari kesemua universiti yang mengambil bahagian seperti Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolej Polytech MARA Kuantan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).
Sementara itu enam daripada sepuluh persembahan poster terbaik pula telah dimenangi oleh peserta dari UTeM manakala dua daripada poster tersebut adalah daripada UKM, satu daripada UMT dan satu daripada UPSI.
Kesemua pemenang telah menerima sijil bagi poster terbaik di samping saguhati wang tunai yang disampaikan semasa majlis penutup yang disempurnakan oleh Naib Canselor UTeM.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib dalam ucapan perasmian dan penutup menyatakan bahawa InTReD'18 ini akan diteruskan lagi sebagai program tahunan kerana telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada universiti awam dan swasta.
"Di samping itu ianya telah menyuntik pemerkasaan budaya penyelidikan kreatif dan inovatif yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan staf akademik UTeM dan organisasi pendidikan di Malaysia", ujar beliau lagi.