Dari Tadika Ke Universiti, Mahasiswa UTeM Pacu Agenda STEM-TVET Negara
MELAKA – Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sekali lagi membuktikan keupayaan mereka sebagai peneraju agenda Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi penganjuran Persidangan Kepimpinan Mahasiswa STEM-TVET Kebangsaan yang berlangsung di Kompleks Dewan Kuliah dan Dewan Auditorium, Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Industri Pembuatan (FTKIP), UTeM.
Program berskala nasional itu menghimpunkan hampir 100 mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi menjayakan sesi diskusi dan Townhall Kepimpinan TVET yang menjadi platform perkongsian idea, pengalaman serta amalan terbaik berkaitan pembangunan kepimpinan STEM-TVET.
Lebih membanggakan, penglibatan peserta sepanjang program mencecah lebih 500 orang apabila mahasiswa yang terlibat digerakkan ke pelbagai lokasi bagi melaksanakan aktiviti STEM-TVET bersama komuniti merangkumi kanak-kanak tadika, murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di beberapa lokasi sekitar Melaka dan Terengganu.
Antara aktiviti berimpak tinggi yang dilaksanakan termasuk Program STEM Cilik bersama kanak-kanak tadika sekitar Melaka, Program Kepimpinan TVET Terbilang bersama murid Sekolah Kebangsaan Nyalas dan Sekolah Kebangsaan Nyiur Tujuh serta Sesi Townhall Kepimpinan TVET bersama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
Selain pengisian akademik dan kepimpinan, program berkenaan turut diserikan dengan pelbagai aktiviti santai yang menggalakkan semangat kerjasama dan gaya hidup sihat seperti explorace serta Fun Run Nasi Dagang yang memasuki penganjuran kali kedua.
Keunikan Fun Run Nasi Dagang itu berjaya menarik perhatian peserta apabila menggabungkan elemen warisan budaya, keusahawanan mahasiswa dan aktiviti kecergasan dalam satu program yang meriah serta dekat dengan masyarakat.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, mahasiswa perlu terus memainkan peranan sebagai pemangkin utama dalam memperluaskan budaya STEM-TVET kepada masyarakat melalui pelaksanaan program yang memberi impak langsung kepada komuniti.
Menurut beliau, penglibatan aktif mahasiswa bukan sahaja memperkukuh kemahiran kepimpinan dan insaniah, malah menjadi medium penting dalam melahirkan graduan holistik yang memenuhi keperluan semasa industri dan pembangunan negara.
“UTeM sentiasa komited memperkasakan agenda STEM-TVET melalui pendekatan berteraskan komuniti, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang teknikal, malah memiliki nilai kepimpinan, kebolehpasaran dan daya saing yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program, Haziq Damia, 22, berkata mahasiswa dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) perlu terus memperkukuh penguasaan STEM dan TVET agar kepakaran yang dimiliki dapat diterjemahkan kepada manfaat yang lebih besar kepada masyarakat.
“Elemen STEM dan TVET wajar diperkasakan khususnya dalam kalangan mahasiswa MTUN supaya ilmu, kemahiran dan kepakaran yang dimiliki dapat disalurkan secara lebih menyeluruh kepada pembangunan masyarakat,” katanya.
Persidangan itu turut disertai mahasiswa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), sekali gus menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi negara.
Program berkenaan telah dirasmikan oleh Pengerusi KETENGAH, Dato’ Rozi Mamat dan turut dihadiri bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Penganjuran persidangan tersebut dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem STEM-TVET negara menerusi kerjasama erat antara mahasiswa, institusi pendidikan tinggi dan agensi luar, sekali gus melahirkan generasi pemimpin masa depan yang adaptif, inovatif dan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi pembangunan negara