Skip to main content
28 November 2025

UTeM Anjur Sambutan Jubli Perak Sempena 25 Tahun Penubuhan

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), universiti awam teknikal berprestik yang juga universitI awam terbaik TVET di negara ini menganjurkan sambutan Jubli Perak sempena dengan penubuhannya ke 25 tahun.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, 1 Disember 2025 menjadi detik bersejarah buat UTeM yang telah mencapai usia 25 tahun penubuhannya.

Jelasnya, UTeM telah melalui perjalanan pengisian masa dengan penuh warna kecemerlangan bermula dengan fasa awal pembangunan sehinggalah berjaya menjadi universiti teknikal berprestij yang sangat dikenali di seluruh dunia.

Ujarnya, selari dengan itu beberapa pengisian hebat dijayakan sempena dengan sambutan Jubli Perak ini bagi menzahirkan penghargaan terhadap segala pencapaian, sumbangan dan jasa warga universiti, alumni, rakan industri, komuniti serta pihak kerajaan yang telah bersama dengan UTeM selama ini.

“Agenda ini turut menjadi medan bagi mengukuhkan hubungan strategik yang sedia terjalin antara UTeM bersama dengan pelbagai pemegang taruh termasuk alumni, industri, komuniti, dan rakan antarabangsa.

“Sehubungan dengan itu pelbagai acara telah dirancang dan telah dijayakan antaranya adalah seperti Jelajah Motosikal Jubli Perak UTeM bermula pada 25 hingga 27 November melibatkan perjalanan dari UTeM ke Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Sementara itu, turut diadakan adalah Malam Cinta Rasul (UTeM Berselawat) yang telah berlangsung semalam,” katanya.

Ujarnya, pada 29 November pula antaranya akan berlangsung Karnival Hari Keluarga UTeM 2025, Pelancaran Inisiatif Kampus Hijau, Larian UTeM 25 Kilometer dan Briskwalk Bersama TYT Tun Canselor di kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.

“Majlis Makan Malam Jubli Perak UTeM 25 Tahun pula telah dijadualkan pada 1 Disember nanti yang akan dihadiri oleh tetamu kenamaan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut Massila berkata, sambutan berangkai ini akan terus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga UTeM, komuniti dan pihak terbabit dalam meraikan kecemerlangan yang dikecapi bersama.