Komited Luaskan Jaringan dan Penyelidikan Antarabangsa, UTeM Meterai Kerjasama Strategik Bersama 6 Buah IPT Ternama Rusia Serentak
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meluaskan perkongsian kepakaran penyelidikan inovasi dan jaringan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa dengan memeterai kerjasama strategik bersama dengan 6 buah institusi Pendidikan Tinggi Rusia secara serentak.
Menerusi jaringan ini UTeM telah memeterai 4 Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dengan National Research Nuclear University (MEPhI), Moscow Aviation Institute (MAI), Russian Biotechnology University (Rosbiotech) dan Far Eastern Federal University (FEFU) manakala 2 Surat Niat (LoI) bersama dengan Grozny State Oil Technical University (GSTOU) dan Peoples' Friendship University of Russia.
Majlis pemeteraian MoU dan LoI ini telah disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, Valery Falkov sempena dengan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC-ESTC) kali ke-4 berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, Kedah, semalam.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM terus komited dalam usaha memperluaskan kerjasama strategik serta perkongsian kepakaran inovasi merentas sempadan global dengan institusi ternama Rusia.
Katanya, MoU antara UTeM dan MEPhI berfokus kepada pemerksaan penyelidikan, inovasi dan pertukaran akademik bagi kemajuan bersama dalam bidang Kepintaran Buatan (AI), Keselamatan Siber dan Sistem Pintar.
“Kerjasama dengan MAI pula bagi mewujudkan perkongsian strategik dalam pertukaran akademik, penyelidikan dan inovasi tertumpu kepada memajukan bidang kejuruteraan mekanikal.
“Dalam konteks kerjasama dengan (Rosbiotech) bagi merealisasikan pertukaran akademik, penyelidikan dan inovasi yang tertumpu pada dalam memajukan bidang kejuruteraan mekanikal dan bahan termaju bertaraf dunia.
“Manakala MoU dengan FEFU lebih kepada pengisian pengukuhan akademik dan penyelidikan melalui program mobiliti pelajar, projek penyelidikan dan inovasi bersama, pertukaran sabatikal untuk kakitangan akademik, dan inisiatif yang bermanfaat bersama,” ujarnya.
Masssila berkata, rangkaian perkongsian ini tentunya dapat mengukuhkan kapasiti saintifik bersama, menggalakkan kecemerlangan penyelidikan merentas institusi, dan memupuk pemindahan pengetahuan antara kedua-dua institusi.
Mengulas tentang pengisian LoI antara UTeM bersama dengan GSTOU dan Peoples' Friendship University of Russia, beliau menyatakan ia berkisar kepada pertukaran kakitangan dan pelajar timbal balik, latihan pelajar dalam syarikat kejuruteraan dan teknologi, projek pengajaran dan penyelidikan bersama dan penganjuran bersama seminar, bengkel dan mesyuarat saintifik.
Mengulas lanjut Massila berkata, UTeM terus serius bagi memastikan kejayaan dan keberhasilan berangkai dalam konteks akademik, penyelidikan inovasi dan kerjasama strategik di peringkat global.
Turut hadir sewaktu majlis ini ialah Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Profesor Ts Dr Mohd Sanusi Azmi, Dekan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal, Profesor Madya Dr Nadlene Razali dan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global (UGLOBE), Hazman Hasib.