Skip to main content
01 October 2025

Mahasiswa UTeM Mengetuai Misi Sukarelawan Antarabangsa Curah Bakti di Thailand

Merentas sempadan antarabangsa, mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sekali lagi membuktikan keupayaan dalam memimpin kesukarelawanan apabila mengetuai Misi Sukarelawan Kemanusiaan peringkat global di Pattani, Thailand, baru-baru ini.

Misi ini disertai seramai 40 orang mahasiswa yang terdiri daripada pelbagai universiti tempatan terdiri daripada UTeM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) serta Universiti Malaysia Sabah (UMS), selain turut mendapat dokongan mahasiswa dari Prince of Songkla University (PSU), Thailand.

Pengarah Program, Haziq Zainudin, 23 tahun, berkata, inisiatif ini dipimpin oleh mahasiswa UTeM bersama Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu UTeM selaku penganjur utama, dengan matlamat utama membantu komuniti luar bandar di wilayah tersebut yang masih bergelut dengan kekangan infrastruktur asas.

Jelasnya, antara pengisian utama misi adalah pemasangan lampu solar di Sekolah Banbangplamoe, iaitu sebuah sekolah pedalaman yang sebahagian kawasannya masih belum menikmati kemudahan elektrik.

“Selain itu, kami turut menyerahkan sumbangan mainan kepada anak-anak kurang berkemampuan, mengadakan kelas bahasa Inggeris untuk pelajar di sekolah tersebut serta menyalurkan bantuan Food Bank kepada keluarga miskin melalui pihak sekolah yang mana semua aktiviti ini dirangka bagi menyentuh pelbagai aspek kebajikan masyarakat dan pendidikan,” katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik, dengan Kepujian, tahun 4, UTeM.

Tambahnya lagi, misi ini turut diperkukuhkan dengan kerjasama erat bersama perwakilan pelajar Prince of Songkla University yang menjadi rakan strategik, sekali gus membuka ruang kepada pelaksanaan aktiviti sampingan seperti forum kepimpinan mahasiswa dan majlis malam kebudayaan yang mengeratkan hubungan dua hala Malaysia–Thailand.

Secara umumnya. misi sukarelawan ini telah berjaya mencapai objektif dengan penuh makna, apabila usaha kecil yang dicurahkan telah memberi sinar baharu kepada

masyarakat luar bandar Pattani, sekali gus memperkukuhkan semangat solidariti serantau melalui sentuhan mahasiswa.

Turut bersama dalam misi ini, Pengarah Hal Ehwal Pelajar (HEPA) UTeM, Prof. Madya Dr. Hazli Rafis Rahim yang menyatakan bahawa program sebegini memberi peluang besar kepada mahasiswa untuk mengasah bakat kepimpinan, kemahiran komunikasi antarabangsa dan penghayatan nilai kemanusiaan yang sebenar.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin menegaskan, penglibatan mahasiswa dalam misi luar negara ini selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan holistik dan berdaya saing global, yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, bahkan mampu memberi kesan nyata kepada masyarakat serantau.

“Inisiatif sebegini turut seiring dengan fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara, yang meletakkan pengukuhan kompetensi, kepimpinan dan sahsiah mahasiswa sebagai agenda penting.

“Misi ini menjadi bukti jelas bahawa mahasiswa UTeM dan rakan universiti lain mampu tampil sebagai duta kecil negara yang membawa imej positif Malaysia ke persada antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif, turut merakamkan penghargaan terhadap keberanian dan dedikasi mahasiswa yang sanggup menabur bakti merentas sempadan.

“Program ini bukan sahaja menyentuh aspek bantuan kemanusiaan, tetapi ia juga memperkukuh jaringan kerjasama akademik dan pelajar antara Malaysia dan Thailand yang menajdi wadah penting dalam melahirkan mahasiswa Madani yang berpemikiran global, namun tetap berakar pada jiwa rakyat,” ulasnya.