UTeM Tingkatkan Ekonomi Kampung Pulau Menerusi Keberhasilan Projek Tanaman Fertigasi Golden Melon
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya membantu dalam meningkatkan ekonomi Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka dalam sektor pertanian moden menerusi keberhasilan Projek Tanaman Fertigasi Melon Moden.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan antara kejayaan UTeM menerusi perkongsian kepakaran dimiliki UTeM dalam meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
Jelasnya, pencapaian ini menzahirkan komitmen UTeM dalam menjayakan Program Kampung Angkat MADANI – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang diterajui UTeM melalui Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka (RICE).
“Melalui projek sebegini, universiti dapat menyumbang kepakaran, teknologi, dan idea kreatif untuk menyelesaikan masalah tempatan, sekaligus meningkatkan taraf hidup komuniti setempat.
”Projek inovasi universiti kepada komuniti bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, tetapi juga memberikan pengalaman praktikal kepada pelajar dan pensyarah,” ujarnya.
UTeM menggunakan pendekatan pertanian fertigasi moden buat penduduk Kampung Pulau mengusahakan tanaman melon baka premium, Golden Melon (Cucumis melo var inodorus) secara sistematik dan berteknologi.
“Ini bukan kejayaan biasa kerana hasil tuaian Golden Melon yang telah dijayakan UTeM bersama penduduk kampung kini telah memasuki musim tuaian kedua dengan hasil yang amat memberangsangkan.
Program berimpak tinggi ini diketuai oleh sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Muhammad Herman Jamaluddin dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik (FTKE), UTeM.
Dr Herman berkata, Projek Penanaman Melon Secara Fertigasi: Aplikasi Pertanian Moden di Kampung Pulau, Masjid Tanah ini telah bermula sejak bulan November tahun lalu.
Katanya, projek ini dijayakan menerusi teknologi fertigasi iaitu sistem siraman automatik yang mengalirkan baja ke setiap polibeg pokok melon mengikut tempoh waktu yang ditetapkan.
“Sistem ini mengawal kepekatan baja agar mengikut standard yang diberikan bagi menghasilkan buah melon pada gred premium yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.
“Uniknya sistem ini juga turut dilengkapi dengan integrasi proses pencahayaan lampu tumbesaran (grow light) bagi merangsang fotosintesis tanaman melon pada waktu malam,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata projek ini diusahakan sepenuhnya oleh sekumpulan ahli komuniti surau, penduduk Kampung Pulau yang telah dibekalkan ilmu yang telah diterapkan sejak musim pertama.
“Ia termasuk teknik pembajaan, pengurusan air, kawalan perosak dan penyakit, para peserta kini bukan sahaja berilmu, malah mampu menguruskan projek secara hampir kendiri.
“Pada musim pertama, sebanyak 300 polibeg ditanam dan hasil jualan digunakan sepenuhnya untuk memperluaskan kapasiti kepada 420 polibeg pada musim kedua.
“Kini, buah melon dari musim kedua mula dituai, dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pulau menjangkakan hasil jualan berpotensi mencapai RM4,000, iaitu peningkatan hampir dua kali ganda berbanding musim sebelumnya,” jelasnya lagi.
Sementara itu, wakil JPKK Kampung Pulau berkata, projek ini memberikan impak yang nyata kerana bukan sahaja menjana pendapatan tambahan buat penduduk, malah membangkitkan minat yang semakin meluas dalam kalangan komuniti untuk meneroka sektor pertanian bernilai tinggi.
“Kami melihat program ini bukan sekadar satu projek pertanian, tetapi satu jalan keluar kepada cabaran ekonomi luar bandar. Ia membina keyakinan, kemahiran dan keinginan untuk berdikari dalam kalangan penduduk.
“Kejayaan program ini menggambarkan kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan luar bandar yang lestari.
“Melon yang ditanam bukan hanya simbol hasil tuaian, tetapi bukti nyata bahawa komuniti desa juga mampu menguasai pertanian moden apabila diberi peluang dan sokongan sewajarnya,” ujarnya lagi.