Skip to main content
19 February 2025

UTeM Jalin Kerjasama Strategik Merealisasikan Agenda Akses Terbuka Tesis & Disertasi Negara

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) antara 20 Universiti Awam telah menjalin kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama Akses Terbuka Tesis dan Disertasi Universiti Awam Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Majlis pertukaran MoU ini telah disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi sempena dengan program Malaysia’s Research Star Award (MRSA) yang diadakan di salah sebuah hotel di Putrajaya, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, antara objektif kerjasama ini adalah bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau yang bertaraf antarabangsa.

Katanya, usaha ini adalah bagi mempercepatkan proses penyebaran ilmu serta memperluaskan jaringan penyelidikan dalam kalangan penyelidik, pelajar dan industri secara bersepadu.

“Pada masa yang sama inisiatif ini turut menyokong pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan dengan menyediakan akses lebih meluas kepada bahan akademik berkualiti tinggi khususnya tesis dan disertasi.

“Hal ini adalah seiringan dengan aspirasi Malaysia mengorak langkah ke arah budaya penyelidikan terbuka, memperkukuhkan kedudukan negara sebagai pusat kecemerlangan akademik dan inovasi di peringkat antarabangsa,” ujarnya ketika temu bual sewaktu majlis ini.

Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.