Skip to main content
18 October 2024

UTeM Jalin Kerjasama Strategik Bersama Cohu Malaysia Sdn Bhd Kongsi Kepakaran Tingkatkan Produktiviti

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalin kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Cohu Malaysia Sdn Bhd. bagi pemerkasaan inovasi teknologi pengeluaran dan penyelesaian  industri elektronik di rantau Asia Tenggara.

Majlis pertukaran MoU tersebut telah dihadiri Dekan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP), Profesor Ir. Dr. Hambali bin Arep @ Ariff mewakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabngsa) UTeM, Profesor Dr Zulkifilie bin Ibrahim manakala Cohu Malaysia diwakili oleh Naib Presiden Cohu Malaysia Stephane Luthi.

Majlis tersebut telah berlangsung di kilang berkenaan di Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

Mengulas mengenai MoU ini, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, kerjasama ini jelas menzahirkan impak berganda dalam konteks hubungan erat antara UTeM dan industri serta sumbangan kepakaran UTeM dalam penyelidikan teknologi pengeluaran dan automasi industri. 

Jelasnya, dengan kepakaran UTeM dalam bidang kejuruteraan dan inovasi teknologi, sinergi ini dijangka memberi impak besar kepada perkembangan teknologi dalam sektor elektronik di rantau ini.   

“Kerjasama ini tentunya memberi manfaat bagi kedua belah pihak untuk membangunkan penyelesaian automasi yang lebih efisien, selaras dengan keperluan industri semasa yang semakin kompleks. 

“Ia juga bakal memacu inovasi dalam pengeluaran, meningkatkan kecekapan dan daya saing syarikat dalam pasaran global,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pada masa yang sama kerjasama ini juga memberi kelebihan kepada pelajar dan graduan UTeM dalam konteks latihan industri dan peluang kerjaya di sini.

Sementara itu, Naib Presiden Cohu Malaysia Sdn Bhd, Stephane Luthi, menyatakan rasa optimis terhadap potensi kerjasama ini kerana UTeM merupakan rakan kongsi yang tepat untuk kami. 

“Dengan kepakaran akademik dan penyelidikan yang mereka miliki, kami yakin kerjasama ini akan mempercepatkan pembangunan teknologi automasi dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. 

“Kami berharap lebih ramai graduan UTeM akan menyertai Cohu di masa hadapan, memandangkan peluang latihan industri dan program Work Based Learning (WBL) ini memberi pendedahan yang penting kepada pelajar untuk berkembang dalam industri automasi,” ujarnya lagi.

Inisiatif ini diharapkan dapat menjadikan Malaysia sebagai hab utama dalam penyelesaian teknologi pengeluaran canggih di rantau Asia Tenggara, sekaligus mengukuhkan kedudukan negara dalam sektor elektronik global. 

Turut hadir menyaksikan pemeteraian ini ialah para pensyarah yang terlibat sebagai ahli MoU, bersama-sama dengan wakil-wakil industri dan pelbagai pihak berkepentingan yang menyokong inisiatif ini.