UTeM Juara Berganda MTUN Bagi Kebolehpasaran Graduan (GE) 2023
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mencatatkan kejayaan cemerlang menjadi juara berganda dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) apabila mencapai kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) 2023 97.7% dan 76.7% graduan bekerja.
Keputusan tersebut berdasarkan analisis dan keputusan rasmi yang telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM, Profersor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan pencapaian terbaik buat UTeM dalam konteks kebolehpasaran graduan kami.
Ujarnya, UTeM memperoleh peratusan GE tertinggi dalam kalangan MTUN dengan mencatatkan peratusan GE sebanyak 97.7% iaitu meningkat sebanyak 1.3% berbanding graduan tahun 2022 iaitu 96.4%.
“Pada masa yang sama UTeM turut mencatatkan pencapaian membanggakan apabila mencapai peratusan graduan bekerja yang tertinggi dalam kalangan MTUN iaitu sebanyak 76.7%.
“Kejayaan berganda ini tentunya telah melonjakkan kedudukan UTeM selaku juara berganda dalam konteks kebolehpasaran graduan dan peratusan graduan yang bekerja pada tahun bergraduat,” ujarnya lagi.
Dr Massila berkata, catatan kejayaan berganda ini jelas membuktikan strategi dan formula UTeM dalam segenap perspektif menzahirkan hasil yang amat memberangsangkan.
“Ia termasuk dalam aspek penawaran program pengajian dan penjanaan graduan UTeM ternyata memenuhi acuan dan keperluan industri serta pasaran kerja industri global.
“Pada masa yang sama peranan UTeM selaku peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju negara jelas memacu pada landasan yang tepat selari dengan hasrat nasional di samping merentas sempadan antarabangsa,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan, kejayaan ini turut memenuhi kriteria pengisian agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu Pendidikan Berkualiti (SDG 4) dan Pekerjaan Baik dan Kemajuan Ekonomi (SDG 8) daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mengulas lanjut beliau berkata, berdasarkan keputusan GE keseluruhan 20 buah universiti awam pula UTeM naik dari tangga ke 7 (2022) kepada tangga ke 5 (2023) selepas Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pada masa yang sama UTeM turut tergolong dalam 4 universiti awam yang mencapai kadar responden 100% selain Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Sehubungan dengan itu, Dr Massila menyeru pelajar-pelajar di luar sana untuk memohon dan menyambung pengajian teknikal dan TVET di UTeM seterusnya menjadi graduan pilihan majikan.