
UTeM Rangka Kerjasama Strategik dan Sedia Bantu Negara Kemboja Perkasa TVET Aras Tinggi
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus proaktif memperkasa dan meluaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional bukan hanya dalam negara malahan merentas rantau Asia Tenggara termasuklah negara Kemboja.
Perkara ini dizahirkan menerusi pertemuan antara Naib Canselor UTeM Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin bersama dengan Timbalan Perdana Menteri Kemboja Sun Chanthol, baru-baru ini.
Ianya bersempena dengan perasmian Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) ke 21 yang telah berlangsung di Phnom Penh, Kemboja.
Dr Massila berkata, pertemuan ini telah berjaya menyuntik hubungan kerjasama 2 hala antara Malaysia bersama dengan tunggak kepimpinan dan pentadbiran baharu negara berkenaan.
Jelasnya, ruangan ini digunakan bagi memperkenalkan UTeM sebagai universiti teknikal pertama di Malaysia dan perintis program TVET negara ini yang kini turut bergiat aktif memperluaskannya di rantau Asia Tenggara.
Pada majlis tersebut juga pihak UTeM menyerahkan prospektus UTeM kepada Sun Chanthol dan merangka kerjasama dua hala antara UTeM dan kerajaan Kemboja.
Sementara itu pada masa yang sama delegasi UTeM turut mengadakan perbincangan bersama wakil daripada Kementerian Buruh dan Latihan Vokasional Kemboja yang diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (DGTVET) Chan Vichet dan Pengarah, Jabatan Latihan Khun Leakhana.
Ujar Massila, antara perkara yang dibincangkan adalah peluang kolaborasi antara UTeM dan institusi-institusi di Kemboja dalam bidang TVET di samping mengenalpasti bidang-bidang dalam pendidikan TVET yang diperlukan oleh pihak Kemboja.
“Mereka turut menyatakan minat berminat dengan program pensijilan profesional, program padanan dalam bidang TVET serta latihan yang boleh disediakan oleh akademi TVET Wanita JELITA UTeM,” ujarnya lagi.