Skip to main content
08 May 2023

UTeM Memenuhi Aspirasi TVET Aras Tinggi

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dilihat memenuhi peranannya menjayakan aspirasi negara bagi pemerkasaan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi.

Di samping itu UTeM turut senada dan seiringan dalam merencanakan strategi dan gerak kerja universitinya selari Amanat Tahun Baru yang telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada awal tahun.

Kenyataan itu merupakan rangkuman daripada ucapan beliau selepas selesai mendengar pembentangan yang disampaikan oleh Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin sewaktu lawatan kerjayanya di Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh, baru-baru ini. 

Sehubungan itu antara fokus lain pihak UTeM diseru agar terus memantapkan dan menjayakan bidang tujahannya yang berfokuskan kepada Pembuatan Termaju dan Teknologi Pengkomputeran Termaju.

Pada masa yang sama Mohamed Khaled berkata, hubungan bersama industri juga harus dipertingkatkan bukan sahaja berkaitan kebolehpasaran graduan, malah penekanan perlu diberikan dalam aspek penyelidikan bersama juga.

“Usaha-usaha ini perlu dijayakan dengan kerjasama bersepadu antara fakulti dalam meneroka dan mengembangkan ilmu baharu, yang mana hasilnya pula haruslah dikongsi bersama masyarakat agar dapat mengubah dan memantapkan negara,” katanya lagi.

Lawatan itu turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Seri Dr Haji Hasim Hasan, dan Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin, pengurusan kanan universiti serta wakil pelajar UTeM.

Lawatan dimulakan dengan pembentangan pencapaian serta hala tuju UTeM pada masa akan datang termasuk berkaitan 5 Teras Strategik, program pembangunan usahawan dan mahasiswa, jalinan kerjasama industri dan lain-lain.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin melahirkan rasa gembira atas kesudian Menteri Pendidikan Tinggi melawat UTeM dan mendengar sendiri pencapaian semasa dan perancangan strategik kami.

Katanya, kami turut menyambut baik saranan dan seruan daripada beliau dan bersedia menjayakannya secara bersepadu seperti yang beliau hasratkan selari dengan kepakaran dimiliki demi kepentingan sejagat.

Dalam lawatan kerja tersebut Menteri Pendidikan turut dibawa melawat dan mendengar penerangan lengkap di beberapa buah makmal berteknologi tinggi yang digunakan UTeM.

Beliau turut berpeluang melihat sendiri beberapa produk penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidik UTeM dan beliau turut sempat beramah mesra dengan kumpulan pelajar di sini.