Skip to main content
30 November 2022

UTeM Melakar Kegemilangan Sepanjang 22 Tahun

1 Disember tahun ini genap usia 22 tahun penubuhan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM).

Naib Canselor UTeM Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, sepanjang tempoh 22 tahun UTeM, pelbagai pencapaian selari dengan aspirasi penubuhannya melonjak kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi telah berjaya dikecapi.

Ujarnya, Kejayaan UTeM mencakupi segenap dimensi merangkumi kecemerlangan penyelidikan dan inovasi, keunggulan akademik, penyerlahan staf, mahasiswa serta graduan berimpak tinggi kepada negara dan dunia.

“Berdasarkan penarafan Quacquarelli Symonds (QS), UTeM merupakan salah sebuah universiti terbaik di Asia pada kedudukan 400 terbaik serta tersenarai dalam QS World University Rankings By Subject.

“Ianya dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik & Pembuatan (kedudukan 451-500) serta bidang Sains Komputer & Sistem Maklumat (kedudukan 651-670).

“Times Higher Education (THE) pula mengiktiraf UTeM menyerlah pada kedudukan 1,200 universiti terbaik dunia dan mencapai kedudukan 600 terbaik bagi THE Impact Rankings,” katanya.

Menyentuh tentang penghasilan graduan dan kebolehpasaran, Dr Massila berkata, sehingga kini UTeM telah menjana seramai 38,814 orang graduan dan lebih 90 peratus kadar kebolehpasaran dan tentunya menjadi buruan majikan dunia.

Mengulas mengenai sambutan pada 1 Disember nanti beberapa aktiviti dengan pengisian menarik telah dirancang akan diadakan menerusi 3 sesi pagi, petang dan malam yang akan diadakan di Dewan Canselor, Pusat Sukan dan Masjid Sayyidina Abu Bakar UTeM.

“Sempena dengan sambutan 22 tahun penubuhan UTeM ini pentingnya seluruh warga UTeM kembali menghayati dari awal penubuhan dan segenap episod kejayaan yang telah dikecapi bersama.

“Ini semua adalah bersandarkan kepada konsep kebersamaan seluruh warga UTeM bersama menjayakan misi dan visi UTeM secara berterusan dan tidak pernah putus asa,” katanya lagi.

Menurut Dr Massila kejayaan itu turut dipacu menerusi 5 Teras Strategik UTeM yang diyakini berupaya mengangkat UTeM di persada antarabangsa selaras dengan aspirasi ‘menjajar universiti, melonjak ke hadapan’ yang telah diperkenalkan.

Katanya, lima teras itu ialah memperkasakan TVET, meluncur kerjaya; mempromosikan RICE, menjana pendapatan; menjuarai khidmat insani, mengundang kesejahteraan; mencetuskan ekosistem rancak, melestarikan universiti; dan mengembangkan nilai, menggamit kemakmuran.