Skip to main content
04 February 2026

10 Pensyarah UTeM diiktiraf Sebagai Pakar Semikonduktor Bertaraf Dunia

Seramai 10 orang pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya menerima Pensijilan Semikonductor Package Assembly & Test (SAT-Pro) daripada Micron Technology, Micron Memory Malaysia yang pada masa yang sama mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pengiktirafan ini mengukuhkan kompetensi tenaga pengajar UTeM dalam bidang teknologi semikonduktor khususnya dalam fasa pemasangan dan pengujian yang menjadi teras industri elektronik global.

Penyertaan UTeM menzahirkan komitmen dan keupayaan universiti dalam memacu pendidikan teknikal yang berorientasikan industri bilamana 10 orang pensyarah ini telah berjaya melengkapkan proses pembelajaran intensif selama 40 jam, merangkumi modul-modul asas dan lanjutan dalam teknologi semikonduktor yang dibangunkan berdasarkan keperluan industri semasa dunia.

Sepuluh orang pensyarah berkenaan adalah Ts. Dr. Mohd Syafiq Abd Aziz dan ⁠⁠⁠Dr. Mizah Ramli dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal, ⁠Atikah Razi, ⁠Norhazilina Bahari dan Ts. Muhamad Faiza Yaakub dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik.

⁠Prof. Madya Dr. Seri Rahayu Kamat dan dan ⁠Dr. Khairul FadzliSamat dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan, ⁠Ts. Dr. Afifah Maheran Abdul Hamid, Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Idzdihar Idris dan ⁠Dr. Haslinah Mohd Nasir dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer.

Kesemua mereka telah menerima sijil berkenaan dalam Majlis Pensijilan dan Pelancaran SAT-PRO yang diadakan di Universiti Sains Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas tentang pencapaian ini, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, program SAT-PRO mencerminkan usaha bersama dalam menyokong agenda pembangunan bakat negara, khususnya dalam sektor semikonduktor yang semakin penting kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dan daya saing global.

Katanya, penarafan SAT-Pro ini memberikan impak signifikan terhadap pemerkasaan kurikulum di UTeM yang mana input teknikal daripada Micron Technology dapat diintegrasikan secara langsung dalam struktur pembelajaran berteraskan industri.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Profesor Dr Mohd Rizal Salleh berkata, dengan adanya barisan pensyarah yang kini diiktiraf dalam bidang pemasangan dan pengujian semikonduktor (ATMP), UTeM memiliki kelebihan strategik untuk menawarkan modul pendidikan yang lebih dinamik selaras dengan piawaian industri global.

“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kredibiliti program akademik sedia ada, malah memastikan penyampaian ilmu di bilik kuliah sentiasa relevan dengan evolusi teknologi semasa sekali gus merapatkan jurang antara teori akademik dan aplikasi sebenar di sektor pembuatan termaju,” ujarnya.

“Perkara ini tentunya turut memberikan impak langsung terhadap kebolehpasaran graduan UTeM dan ekosistem bakat negara kerana ia memenuhi acuan dalam graduan berteras masa hadapan seringan dengan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS),” ujarnya.