Rancangan Malaysia ke-13 Bukti Kerajaan Terus Cakna Kemenjadian TVET
Tatkala dunia sedang melalui gelombang Revolusi Perindustrian 4.0 yang tidak mengenal batas, Malaysia terus melangkah dengan tekad mempersiapkan rakyatnya sebagai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu mendepani masa depan. Dalam konteks ini, Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menjadi bukti jelas bahawa kerajaan tidak pernah alpa terhadap kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Seperti yang pernah ditegaskan oleh Perdana Menteri dalam ucapannya di Parlimen, “TVET bukan lagi pilihan kedua, tetapi laluan utama yang akan mengubah masa depan negara.” Ungkapan ini bukan sekadar retorik politik. Ia dizahirkan melalui pelbagai perlaksanaan inisitif TVET sebelum ini dan terbaru dalam RMK-13 menyatakan pelaksanaan Skim Pembiayaan Perkasa TVET Madani dan Dana Latihan TVET yang dirangka penuh berhikmah untuk membuka lebih banyak ruang kepada belia B40 dan M40, terutamanya di luar bandar dan pedalaman.
Selama ini, anak muda luar bandar sering terhalang daripada menyertai program TVET kerana kekangan kos, lokasi dan peluang pekerjaan. RMK-13 datang sebagai pemecah halangan ini. Melalui pembiayaan menyeluruh yang bukan sahaja menampung yuran latihan tetapi juga kos sara hidup, belia B40 dan M40 kini mampu menuntut ilmu tanpa beban kewangan yang berat.
Tambahan pula, Dana Latihan TVET ini dijalinkan erat dengan kerjasama strategik bersama industri. Ini bermakna peserta tidak lagi mengikuti latihan generik yang tiada nilai tambah, tetapi dibekalkan dengan kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran semasa. Sektor berimpak tinggi seperti kenderaan elektrik (EV), automasi, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi tumpuan utama.
Langkah kerajaan untuk meluaskan jangkauan TVET ke pedalaman juga amat signifikan. Pendekatan TVET bergerak dan pusat latihan satelit membolehkan latihan dibawa masuk ke kampung-kampung, pulau-pulau serta komuniti Orang Asli yang selama ini sukar mengakses institusi TVET.
Pendekatan ini membuktikan bahawa tiada sesiapa harus dipinggirkan daripada arus pembangunan negara. Salah satu keunikan besar skim ini ialah laluan kerjaya yang lebih jelas. Graduan TVET bukan sahaja menerima sijil, tetapi turut dijamin peluang pekerjaan melalui kerjasama erat bersama industri dan laluan akademik ke Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Inilah kunci untuk menjadikan TVET pilihan utama anak muda – mereka melihat masa depan yang nyata, bukan sekadar harapan.
Konsep ekosistem Madani yang bersepadu yang diperkenalkan kerajaan turut menjadi pemacu keberkesanan skim ini. Gabungan pembiayaan, latihan, insentif majikan dan sokongan komuniti mewujudkan rantaian yang kukuh. Peserta bukan sahaja dilatih, malah ditempatkan dalam pekerjaan yang berdaya maju. Inilah formula untuk memutuskan rantaian kemiskinan luar bandar yang sudah lama membelenggu sebahagian masyarakat kita.
Lebih menarik, RMK-13 turut memperluas program TVET kepada pelajar institusi tahfiz. Langkah ini membawa makna yang cukup mendalam iaitu melahirkan Huffaz yang bukan sahaja kukuh rohaninya tetapi juga memiliki kemahiran teknikal seperti yang pernah diungkapkan oleh tokoh pendidikan, “Ilmu tanpa akhlak itu pincang, akhlak tanpa kemahiran itu terpinggir.”
Melalui pendekatan ini, pelajar tahfiz kini berpeluang berdikari, menceburi keusahawanan dan menyumbang secara aktif kepada ekonomi negara. Persepsi masyarakat terhadap institusi tahfiz juga bakal berubah daripada pusat pengajian agama semata-mata kepada pusat melahirkan modal insan holistik yang seimbang antara spiritual dan teknikal.
Apabila berbicara tentang TVET berasaskan nilai tinggi (HGHV) dan teknologi termaju, ia bukan sekadar soal melatih belia, tetapi soal mengangkat daya tahan ekonomi negara. Pertama, TVET HGHV melengkapkan sektor strategik negara dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu mengisi jawatan kritikal bernilai bilion ringgit.
Kedua, ia meningkatkan produktiviti industri dan seterusnya mencipta pekerjaan premium dengan gaji lebih tinggi – sekaligus mengangkat taraf hidup rakyat. Ketiga, ia menarik pelaburan berkualiti tinggi. Pelabur antarabangsa mahu melihat tenaga kerja yang kompeten sebelum melabur, dan TVET HGHV memberi jaminan tersebut.
Kerajaan juga terus mengukuhkan strategi sedia ada untuk menyelesaikan tiga cabaran nasional yang kritikal iaitu produktiviti tenaga kerja, pengangguran belia dan ketidaksepadanan kemahiran. Bukti sebelum ini jelas, banyak strategi Kerajaan dalam memperkasakan TVET.
Salah satunya adalah melaui cabang pemerkasaan TVET wanita. Program JELITA (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement) misalnya, yang dilaksanakan melalui MTUN melibatkan lebih 3,000 peserta dari empat zon utama iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Melalui JELITA, para peserta diberikan latihan pensijilan teknikal, bengkel kemahiran insaniah, pertandingan pitching dan temu duga langsung dengan syarikat multinasional. Hasilnya, graduan TVET bukan sahaja memiliki sijil, tetapi juga kompetensi sebenar yang diperlukan industri. Kajian JobStreet 2024 menunjukkan 52% majikan berpendapat graduan baharu kurang kemahiran praktikal, oleh itu dengan inisiatif seperti JELITA, kekurangan ini dapat diatasi sekaligus meningkatkan produktiviti tenaga kerja negara.
Dalam menangani kadar pengangguran belia yang masih tinggi iaitu 10.4%-11.7% (Q1 2024), program JELITA@KPT Summit berjaya menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan premium secara langsung kepada graduan TVET. Ini membuktikan graduan TVET bukan sahaja layak tetapi juga bersedia mengisi jawatan berpendapatan tinggi yang tersedia.
TVET Place & Train pula menjadi contoh bagaimana ketidaksepadanan kemahiran dapat ditangani dengan berkesan. Peserta bukan sahaja dilatih dengan modul yang dibangunkan bersama industri, malah terus ditempatkan di syarikat yang memerlukan tenaga kerja.
Data menunjukkan lebih 80% peserta berjaya diserap bekerja sebaik tamat latihan, termasuk dalam sektor strategik seperti automasi, semikonduktor, tenaga boleh diperbaharui dan EV.
Sebagai salah satu daripada empat universiti dalam MTUN, UTeM terus menjadi nadi utama negara dalam melahirkan graduan TVET bertaraf dunia. Usaha membangunkan sasaran niaga dalam kampus misalnya, membolehkan mahasiswa menguruskan kedai jualan dengan kerjasama alumni yang bertindak sebagai mentor.
Selain itu, konsep pasar malam UTeM mewajibkan peniaga luar mengambil mahasiswa sebagai pekerja, sekali gus menyemai semangat keusahawanan teknikal dan sosial dalam diri mereka. UTeM juga terlibat aktif dalam program PUTEK (Pembangunan Usahawan Teknikal) yang menyediakan pembiayaan padanan geran 60% pembiayaan dan 40% geran kepada graduan untuk memulakan perniagaan teknikal.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang juga alumni UTeM, “Sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan pendigitalan akan terus diperkasakan di seluruh negara, terutamanya di Sabah dan Sarawak.”
RMK-13 bukan sekadar dokumen perancangan, tetapi simbol kesungguhan kerajaan untuk memperkasa TVET sebagai nadi pembangunan negara. Namun seperti kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, perjuangan ini tidak boleh dipikul kerajaan sahaja. Industri, institusi pendidikan, komuniti, ibu bapa dan masyarakat perlu berganding bahu. Harapan kita jelas, agar tiada seorang pun anak muda yang tercicir daripada peluang membina masa depan melalui TVET. Agar graduan TVET dilahirkan dengan kemahiran yang tepat, mengisi jurang tenaga kerja kritikal dan seterusnya memacu ekonomi negara ke mercu dunia.
Seperti air yang menitik saban hari mampu meruntuhkan batu yang paling keras, begitulah juga sokongan berterusan daripada semua pihak akan mengangkat ekosistem TVET ke tahap lebih gemilang. RMK-13 adalah langkah berani yang bakal meninggalkan kesan mendalam kepada generasi akan datang. Inilah bukti bahawa kerajaan bukan sekadar bercakap soal masa depan, tetapi benar-benar membinanya dengan penuh kesungguhan.