IPT Negara India Pilih UTeM Jadi Rakan Kerjasama Strategik Bidang Kecerdasan Buatan, Keselamatan Siber & Mobiliti Pelajar
Kecemerlangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menjadi ikutan dan panduan kepada kebanyakan institusi pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa termasuklah negara India.
Sehubungan dengan itu, sebuah institusi pendidikan tinggi swasta autonomi yang unggul dan cukup dikenali di negara berkenaan, PACE Institute of Technology and Science (PACE ITS) telah memilih UTeM menjadi rakan hubungan strategik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).
MoU antara PACE ITS dan UTeM telah disempurnakan di Bangunan Canselori, Kampus Induk UTem, Durian Tunggal, baru-baru ini yang mana PACE ITS diwakili oleh Dr. Sridhar Maddisetty dan Dr. G.V.K. Murthy.
Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan satu langkah strategik dalam usaha UTeM memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa, khususnya dalam bidang mobiliti pelajar, pembangunan kapasiti, penyelidikan bersama dan pemindahan pengetahuan.
“Menerusi perjanjian ini, UTeM dijadualkan menerima 15 pelajar mobiliti inbound dari PACE ITS pada bulan Julai 2025 nanti, pada masa yang sama kerjasama turut meliputi projek konsultasi pembangunan sahsiah pelajar yang dirancang berlangsung pada Disember 2025, melibatkan penyertaan pelajar PACE ITS dalam pelbagai program pembangunan holistik dan kepimpinan.
“Selain itu, inisiatif ini turut membuka ruang kepada pelaksanaan geran serta program pembangunan kapasiti yang bakal memperkukuh keterlibatan akademik dan profesional antara kedua-dua institusi,” katanya lagi.
Tambah beliau. kerjasama 2 hala antara UTeM dan PACE ITS turut tertumpu kepada beberapa projek berimpak besar seperti penganjuran bengkel dan seminar bersama dalam Kepintaran Buatan dan Keselamatan Pengkomputeran.
“Kedua-dua institusi turut berhasrat untuk menjayakan rantaian program perkongsian kepakaran dalam beberapa projek penyelidikan dan penerbitan berpotensi tinggi,” katanya lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, kerjsama antarabangsa ini adalah selari dengan Pelan Strategik UTeM dan bertepatan serta memenuhi Fokus 4 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber, Profesor Madya Ts Dr Muhammad Hafidz Fazli Md Fauadi dan Pengarah Pejabat Hubungan Strategik Korporat dan Global (UGlobe), Hazman Hasib.