Skip to main content
03 March 2025

Mahasiswa UTeM Ketuai Projek Sukarelawan Pemulihan Infrastruktur Pasca Banjir di Terengganu

Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengetuai sekumpulan 60 orang mahasiswa dari pelbagai universiti dalam menjayakan Projek Kesukarelawanan Mahasiswa Madani Intervarsiti Pasca-Monsun di Kampung Tok Saboh, Besut, Terengganu, baru-baru ini.

Pengarah Program, Haziq Zainudin, 23, berkata, program ini merupakan inisiatif UTeM yang telah menggerakkan semangat kesukarelawanan mahasiswa-mahasiswa pelbagai universiti untuk menjayakan projek khidmat komuniti ini.

Katanya, beliau terpanggil untuk mengetuai misi ini kerana menyelami realiti kegetiran dan kesukaran yang dihadapi penduduk di sana yang tentunya mengharapkan bantuan segera usaha membaik pulih prasarana yang masih terjejas akibat bencana sebelum ini.

Jelasnya, antara aktiviti bantuan pemulihan yang telah kami laksanakan adalah seperti pemasangan lampu solar, penambahbaikan infrastruktur balai raya dan menyediakan khidmat kesihatan melalui klinik bergerak.

“Pada masa yang sama kami turut mengambil peluang ini dengan memberikan pendedahan dan penerangan lanjut berhubung Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada anak-anak dan penduduk kampung tersebut dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut.

"Kami beruntung kerana majoriti sukarelawan yang terlibat dalam projek ini terdiri daripada mahasiswa dari universiti di bawah rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), yang memiliki kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.

“Justeru, agak mudah untuk kami mengaplikasikan kemahiran teknikal secara sistematik dan berfokus bagi melancarkan perjalanan operasi usaha pemulihan infrastruktur ini dengan jayanya," katanya.

Mengulas lanjut, penuntut Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik, UTeM ini menyatakan bahawa projek ini bukan sekadar inisiatif sukarelawan biasa, tetapi ia

turut mendapat dokongan penyelidikan di bawah geran yang diketuai sendiri oleh Naib Canselor UTeM, Datuk Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin.

"Program ini bersifat praktikal dan berpandukan kajian yang dijalankan, bagi memastikan setiap usaha yang dilakukan benar-benar menepati keperluan serta kehendak masyarakat setempat dan menjadi platform bagi mahasiswa untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam situasi sebenar," katanya lagi dalam Kenyataan Media UTeM.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM sentiasa ke hadapan dalam memperkasakan mahasiswanya untuk lebih holistik dan mampan bukan hanya dalam bidang akademik malahan turut memberikan kesan langsung kepada masyarakat.

Inisiatif sebegini adalah selari dan seiringan dengan salah satu daripada fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tahun 2025 yang mana fokus pertama iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara yang menyentuh kepada kemenjadian mahasiswa.

Bukan itu sahaja, uniknya projek sebegini bukan sahaja membuktikan keupayaan mahasiswa dalam menyumbang kepada masyarakat, malah turut memperkukuhkan konsep Mahasiswa Madani,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif, memuji inisiatif ini dan menegaskan bahawa pihak universiti sentiasa menyokong penuh penglibatan mahasiswa dalam program kesukarelawanan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

"Misi bantuan ketika banjir memang sudah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial pelbagai pihak, tetapi projek ini lebih istimewa kerana ia memfokuskan kepada sokongan pasca-banjir, yang sering kali kurang diberi perhatian yang mana sokongan sebegini amat penting dalam membantu komuniti untuk bangkit semula dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa," ujarnya.

Katanya lagi, menariknya, sebahagian besar lampu solar yang dipasang di balai raya, masjid, serta sekolah di kampung tersebut merupakan hasil projek mahasiswa UTeM sendiri, yang dibiayai oleh alumni UTeM sebagai tanda sokongan terhadap usaha berimpak tinggi ini.